Universiti Malaysia Terengganu perkenal produk aiskrim BetaGac berkhasiat, hasil inovasi buah eksotik Gac | DagangNews Skip to main content

Universiti Malaysia Terengganu perkenal produk aiskrim BetaGac berkhasiat, hasil inovasi buah eksotik Gac

Pasukan penyelidik UMT iaitu Dr. Faridah Yahya; Prof. Madya Ts. Dr. Fauziah Tufail Ahmad; Dr. Ramisah Mohd Shah; Dr. Shayuti Mohd Adnan; Dr. Azlinzuraini Ahmad dan Dr. Sarina Ismail menunjukkan produk aiskrim diperbuat daripada buah Gac.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 14 Nov - Penyelidik-penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan satu menu aiskrim baharu yang berkhasiat untuk kesihatan, hasil inovasi dari buah eksotik iaitu buah Gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis. 

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata lazimnya, aiskrim sering dilabel sebagai makanan yang tidak sihat dan memudaratkan tubuh badan kerana kandungan gula yang tinggi namun  penyelidik universiti itu berjaya memanfaatkan kepakaran mereka untuk penghasilan aiskrim yang kaya dengan anti oksida.

 

Menurutnya, aiskrim BetaGac tersebut diformulasikan dari Aril atau selaput biji Gac yang tinggi  kandungan beta karotena yang boleh mengurangkan risiko kesihatan berkaitan mata dan jantung. 


 

Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin
Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin

 


"Warna kuning jingga aiskrim BetaGac adalah daripada warna semulajadi aril Gac ini tanpa penggunaan sebarang pewarna tiruan. 

 

"Pemilihan aiskrim berasaskan lemak sebagai pembawa adalah bertujuan untuk meningkatkan penyerapan kandungan beta karotena daripada Gac ini yang bersifat lipofilik (larut dalam lemak) oleh tubuh manusia.

 

"Pengkomersialan aiskrim BetaGac secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah buah Gac serta memperkenalkannya kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur untuk sama-sama memanfaatkan khasiatnya," katanya ketika ditemui DagangNews.com di sini hari ini.

 

Enam penyelidik itu diketuai oleh Dr. Faridah Yahya diikuti Prof. Madya Ts. Dr. Fauziah Tufail Ahmad, Dr. Ramisah Mohd Shah, Dr. Shayuti Mohd Adnan, Dr. Azlinzuraini Ahmad dan Dr. Sarina Ismail.


 

gac

 


Penyelidikan yang menggunakan Geran Commercialization Initiative Fund (CIF) itu diterima pada Jan 2021 dengan peruntukan RM25,000.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata buat masa ini, penduduk Malaysia masih belum mengenali buah Gac yang sememangnya sangat popular di negara jiran seperti di Vietnam dan Thailand kerana ia digelar sebagai 'superfruit' atau 'buah syurga'.

 

"Mereka sanggup membeli Gac dengan harga yang tinggi kerana percaya serta yakin dengan khasiat buah Gac ini.  

 

"Disebabkan itulah, pemilihan  slogan aiskrim BetaGac iaitu  ‘bukan sekadar rasa’ amat bertepatan kerana kami ingin mengetengahkan khasiat Gac ini kepada masyarakat di luar sana," katanya.

 

 

pokok buah gac
Inilah rupa pokoh buah Gac

 

gac
Isi dalam buah Gac

 


Dari aspek perniagaan pula, aiskrim BetaGac mempunyai potensi yang luas di pasaran kerana khasiatnya yang tersendiri dan baik untuk kesihatan.

 

"Secara umumnya, satu bekas kecil aiskrim BetaGac dengan kandungan bersih 100 mililiter ini berharga dalam lingkungan harga RM7 hingga RM8 di pasaran bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang. 

 

"Buat permulaan, kami telah menjual aiskrim BetaGac bermula 1 November lalu dengan harga RM5 sahaja iaitu harga yang disubsidi oleh geran pengkomersialan. 

 

"Kami membuat ujian rentas dengan mencuba pasaran dalam UMT, yang mana segmen pasarannya terdiri daripada golongan pelajar dan staf UMT sahaja. Hasilnya, dalam tempoh 10 hari, kami berjaya menjual melebihi 60 peratus daripada pengeluaran," katanya yang menyifatkan ia sebagai satu perkembangan yang amat positif. 


 

gac

 


Ditanya mengenai pelan hala tuju perniagaan BetaGac pula, beliau berkata UMT berhasrat untuk menjual lesen kepada pengedar ataupun pengeluar aiskrim tempatan dan membuat jaringan kerjasama antara industri dan universiti. 

 

"Kami boleh menyediakan beberapa model perniagaan yang khusus bergantung kepada keperluan anda. Kami yakin dengan pelan pemasaran yang sempurna, unjuran perniagaan BetaGac adalah positif. 

 

"Unjuran pulangan ke atas pelaburan (ROI) adalah bernilai dalam 30 peratus dan kami menyeru kepada pengusaha aiskrim tempatan terutama yang sedang mencari kelainan produk terutama dalam bentuk ‘healthy lifestyle’ (gaya hidup sihat) untuk menghubungi kami," katanya. - DagangNews.com