Untung bersih 2QFY24 Scientex Packaging susut 40.1% kepada RM8.02 juta akibat hasil rendah, kos elektrik tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2QFY24 Scientex Packaging susut 40.1% kepada RM8.02 juta akibat hasil rendah, kos elektrik tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Untung bersih Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2024 (2QFY24) susut 40.1% kepada RM8.02 juta berbanding RM13.38 juta pada tahun sebelumnya disebabkan pengurangan hasil, peningkatan kos penggunaan elektrik dan perubahan campuran produk.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku itu susut 11.2% kepada RM175.84 juta berbanding RM198.06 juta akibat permintaan yang lebih rendah daripada pasaran eksportnya.

 

Katanya, pasaran eksport menyumbang 40.5% atau RM71.16 juta daripada hasil berbanding 45.8% bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Pasaran domestik menyumbang 59.5% atau RM104.69 juta daripada hasil kumpulan pada suku kewangan semasa.

 

"Bagi suku kewangan semasa dalam tinjauan, keuntungan operasi susut 32.4% kepada RM11.35 juta berbanding RM16.80 juta pada suku sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, bagi separuh pertama berakhir 31 Januari 2024 (1HFY24), untung bersih kumpulan itu susut 38.7% kepada RM15.72 juta berbanding RM25.65 bagi tempoh sama tahun lalu apabila hasil mereka berkurangan sebanyak 15.3% kepada RM348.82 juta berbanding RM411.98 juta. 

 

Mengulas mengenai prospek, Scientex Packaging berkata, tinjauan pasaran global kekal mencabar berikutan ketidaktentuan politik yang berterusan, tekanan inflasi yang meningkat serta sentimen pasaran yang lemah.

 

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kumpulan itu  komited terhadap usahanya bagi meningkatkan kecekapan operasi, melalui inisiatif untuk mengoptimumkan penggunaan mesin dan produktiviti tenaga kerja selain fokus kepada inovasi dan membangunkan produk pembungkusan berpusatkan pelanggan.

 

"Keadaan sosioekonomi di Myanmar terus kekal mencabar. Kumpulan akan terus memerhatikan keadaan dan perubahan dasar negara itu bagi meminimumkan kesan buruk terhadap operasinya sambil meneroka pilihan berkaitan dengan operasi di negara itu," katanya. - DagangNews.com