Untung bersih Ancom Nylex melonjak 57.1% kepada RM56.9 juta bagi 9MFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ancom Nylex melonjak 57.1% kepada RM56.9 juta bagi 9MFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Untung bersih Ancom Nylex Berhad bagi tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2023 (9MFY23) melonjak 57.1% kepada RM56.9 juta berbanding RM36.3 juta setahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu juga melonjak 8.1% kepada RM1.57 bilion bagi tempoh berkenaan berbanding RM1.45 bagi tahun sebelumnya. 

 

Dari segi prestasi segmen, bahan kimia pertanian (Agrichem) mencatatkan hasil sebanyak RM440 juta untuk 9MFY23 berbanding RM347.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bahagian itu mencatatkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM64.3 juta untuk tempoh semasa dalam tinjauan, peningkatan sebanyak 24.4% YoY daripada RM51.7 juta yang dicatatkan untuk 9MFY22.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lee Cheun Wei berkata, segmen Agrichem terus menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan dan Aliran pesanan yang sihat daripada segmen itu melonjakkan pendapatan sembilan bulan syarikat itu kepada rekod tertinggi sebanyak RM56.9 juta.

 

Sementara itu, beliau berkata, pemasangan reaktor baharu di kilang Shah Alam masih dalam proses dan ia akan mengembangkan kapasiti kumpulan untuk produk berkaitan MSMA1.

 

Katanya, ini penting untuk mereka untuk merebut peluang yang timbul daripada permintaan yang semakin meningkat akibat larangan pengganti dekat kepada paraquat di Thailand.

 

"Lebih mengujakan, hasil untuk salah satu bahan aktif baharu kami adalah sangat menggalakkan dan kami menyasarkan untuk memulakan pengeluaran di kemudahan baharu kami di Klang menjelang akhir tahun 2023.

 

"Ini akan menjadi satu lagi pemangkin pertumbuhan kepada kumpulan untuk tahun kewangan akan datang (FY24)," katanya.

 

Bagi 3QFY23, kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM16.4 juta dengan hasil RM483.9 juta dan ia mewakili pertumbuhan asas sebanyak 8% berbanding RM15.1 juta yang dicapai pada 3QFY22. - DagangNews.com