Untung bersih Ecomate bagi 3QFY24 susut kepada RM258,000 kesan daripada hasil yang lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ecomate bagi 3QFY24 susut kepada RM258,000 kesan daripada hasil yang lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Untung bersih Ecomate Holdings Berhad susut kepada RM258,000 pada suku ketiga berakhir 30 November 2023 (3QFY24) berbanding RM1.2 juta pada tahun sebelumnya disebabkan hasil yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga menyusut kepada RM12.3 juta berbanding RM13.2 juta pada 3QFY23.

 

Katanya, penurunan itu adalah disebabkan jualan yang lebih rendah di pasaran domestik dan Australasia.

 

"Hasil yang lebih rendah itu disebabkan oleh penurunan permintaan dalam pasaran tempatan dan eksport daripada kelemahan dalam perbelanjaan perabot isi rumah.

 

"Untung kasar kumpulan bagi suku berkenaan juga menyusut sebanyak 69.07% berbanding 3QFY23.

 

"Penurunan untung kasar itu adalah sejajar dengan hasil yang lebih rendah yang dijana dan kos operasi yang lebih tinggi serta pelaksanaan waktu bekerja kepada 45 jam seminggu," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pasaran eksport kekal mencabar kerana penggunaan perabot dunia terus lemah disebabkan peningkatan kadar inflasi menyebabkan harga perabot melambung tinggi.

 

Bagaimanapun katanya, permintaan perabot dijangka pulih sekiranya Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar faedah pada 2024.

 

"Lembaga pengarah akan sentiasa menyemak prestasi dan kemajuan operasi selain prestasi kewangan kumpulan serta memperkenalkan langkah bagi meminimumkan kos operasi dan terus meneroka peluang pasaran baharu.

 

"Kumpulan juga berhasrat memberi fokus kepada kecekapan terasnya dalam meningkatkan kecekapan aktivit pembuatan sedia ada dan meningkatkan kapasiti pembuatan bagi membolehkan kumpulan mengambil peluang daripada permintaan masa hadapan," katanya. - DagangNews.com