Untung bersih Farm Fresh melonjak 5 kali ganda kepada RM23.9 juta pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Farm Fresh melonjak 5 kali ganda kepada RM23.9 juta pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Untung bersih Farm Fresh Bhd bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24) melonjak hampir lima kali ganda kepada RM23.9 juta berbanding RM4.8 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga melonjak kepada RM215.03 juta berbanding RM161.36 juta pada 4QFY23.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24), syarikat tenusu itu mencatatkan keuntungan bersih RM63.53 juta berbanding RM50.08 juta pada FY23, manakala hasil meningkat kepada RM810.41 juta daripada RM629.69 juta pada tahun sebelumnya.

 

Keputusan yang menggalakkan itu adalah hasil kejayaan pengenalan produk baharu seperti Yarra oleh Farm Fresh dan Farm Fresh Grow dalam kedua-dua format cecair dan serbuk, jumlah jualan yang lebih tinggi daripada segmen hotel, restoran dan kafe (HORECA) dan produk UHT, serta sumbangan daripada Inside Scoop Sdn Bhd dan Sin Wah Ice Cream Sdn Bhd.

 

Pengurangan dalam kos bahan mentah tenusu dan kenaikan harga produk minuman sejuk dan produk UHT tertentu di Malaysia berkuat kuasa Julai 2023 terus menyokong peningkatan keuntungan kumpulan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, berdasarkan pemulihan dan peningkatan prestasi suku sebelumnya, pihaknya berbesar hati menamatkan FY24 dengan jumlah jualan yang lebih kukuh dan kos input yang lebih rendah.

 

"Farm Fresh berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan yang mampan, dengan fokus kepada penawaran produk yang lebih luas dan memasuki pasaran baharu kerana kami percaya terdapat potensi besar untuk kami terus menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dengan memanfaatkan reputasi jenama kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tuan Ee berkata, pihaknya juga menjangkakan momentum ini akan berterusan berikutan pelancaran aiskrim barangan pengguna (CPG) yang akan dilancarkan pada akhir Julai atau Ogos 2024 dan produk mentega untuk segmen HORECA dan perdagangan moden.

 

Selain itu, pihaknya juga merancang menghasilkan susu kultur pada bulan-bulan akan datang yang akan memperluaskan lagi penawaran produk.

 

Beliau berkata, kilang kumpulan di Filipina dijangka beroperasi menjelang Julai 2024, yang akan menandakan fasa pengembangan seterusnya.

 

"Kami berhasrat untuk memperkenalkan produk susu tepung sejuk, UHT dan dewasa ke Filipina dengan tumpuan awal kami pada pasaran Greater Manila," katanya.- DagangNews.com