Untung bersih Focus Point 2QFY24 dijangka meningkat sehingga 21.6% dipacu jualan optik lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Focus Point 2QFY24 dijangka meningkat sehingga 21.6% dipacu jualan optik lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Untung bersih Focus Point Holdings Bhd pada suku kedua 2024 dijangka meningkat antara 1.4% hingga 21.6% dipacu oleh jualan optik yang lebih tinggi dan kecekapan operasi yang lebih baik.

 

TA Securities berkata, untung bersih kumpulan itu boleh mencapai antara RM7.5 juta dan RM9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM7.4 pada suku sama tahun lalu.

 

Katanya, jualan kumpulan itu kekal berdaya tahan kerana cermin mata adalah satu keperluan, yang kurang terdedah kepada kelembapan ekonomi.

 

"Sementara itu, kami percaya bahawa jualan korporat optik akan berkembang sekurang-kurangnya 70% pada 2024 kerana kumpulan itu sedang dalam usaha mendapatakan pelanggan korporat (kini 148) bagi meningkatkan jualan berulangnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan bagi segmen makanan dan minuman (F&B) kumpulan itu dijangka meningkat sehingga RM1 juta sebulan, memandangkan pelanggan korporat terbesarnya, Family Mart, akan menambah kira-kira 11 unit penyimpanan stok secara berperingkat bermuka Julai hingga Disember tahun ini.

 

Katanya, dari segi pengembangan, kumpulan itu merancang membuka dua cawangan Komugi baharu (KL East Mall dan Sunway Pyramid) pada 2024 dan kiosk HAP & Pi kedua di Midvalley Southkey, Johor Bahru.

 

TA Securities berkata, segmen F&B bagi runcit dan jualan korporat mencatatkan perkembangan positif didorong oleh aktivit pemasaran yang lebih kukuh, pembukaan kedai HAP & Pi dan pelanggan korporat baharu seperti Zus Coffee dan Cotti Coffee.

 

"Kami memahami bahawa kadar penggunaan Central Kitchen 1(CK1) dan Central Kitchen 2 (CK2) adalah antara 65% hingga 75%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.11 sesaham.- DagangNews.com