Untung bersih FY21 REIT dijangka meningkat 10% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY21 REIT dijangka meningkat 10%

REIT

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Mac. - Keuntungan bersih syarikat pengendali amanah pelaburan hartanah (REIT) dijangka meningkat 10% berbanding tahun sebelumnya pada tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, ia susulan risiko pendapatan yang dilihat semakin berkurangan susulan pelancaran vaksin COVID-19 di seluruh negara serta kelonggaran pergerakan.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan untung bersih REIT pada tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 10% tahun ke tahun dan +19.3% pertumbuhan DPS (dividen sesaham) berbanding tahun sebelumnya.

 

"Kami menjangkakan bantuan/rebat sewa akan minimum dan beransur-ansur ditamatkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana kedua-dua peruncit utama (essential retailers) dan peruncit sampingan (non-essential retailers) melihat potensi jualan berbanding tahun kewangan 2020," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research memberitahu, REIT di bawah liputan pihaknya melaporkan penguncupan hasil sebanyak 13.4% bagi tahun kewangan 2020.

 

Penurunan terbesar dicatatkan oleh REIT runcit disebabkan oleh bantuan/rebat sewa RM34 juta hingga RM94 juta.

 

Prestasi pendapatan REIT yang kurang baik dipengaruhi oleh penurunan mendadak pendapatan hotel disebabkan oleh kadar penghunian yang lemah iaitu pada kadar 20-25% pada akhir 2020.

 

Tambah CGS-CIMB Research lagi, susulan jangkaan pertumbuhan keuntungan bersih itu, pihaknya turut menganggarkan peningkatan hasil dividen purata sebanyak 5.3% pada tahun kewangan 2021 berbanding 4.7% pada tahun kewangan 2020.

 

"Kami tetap berpandangan positif terhadap REIT dengan potensi penghunian yang lebih tinggi dalam pusat beli-belah serta aset perindustrian/pergudangan.

 

"Risiko yang lebih baik dibuat susulan pemulihan yang lebih pantas dalam segmen runcit dan hotel disebablkan pelancaran vaksin COVID-19.

 

"Risiko sebaliknya dinilai sekiranya pendapatan yang lemah serta peningkatan mendadak dalam jumlah kes baharu COVID-19," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com