Untung bersih FY24 AmBank meningkat 9.4% kepada RM1.87 bilion didorong pertumbuhan kukuh NOII | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY24 AmBank meningkat 9.4% kepada RM1.87 bilion didorong pertumbuhan kukuh NOII

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Untung bersih AMMB Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) meningkat 9.4% kepada RM1.87 bilion didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan bukan faedah (NOII).

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagaimanapun susut kepada RM4.65 bilion berbanding RM4.71 pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Katanya, untung bersih bagi 4QFY24 meningkat 11% kepada RM476.54 juta berbanding RM427.39 juta, disokong hasil RM1.17 bilion berbanding RM1.16 bilion, dipacu oleh pendapatan NOII yang lebih tinggi.

 

AMMB mengisytiharkan dividen sebanyak 16.6 sen sesaham, dan akan dibayar pada 11 Julai 2024.

 

Bank itu berkata, margin faedah bersih (NIM) menyusut sebanyak 6.7% kepada RM3.3 bilion tetapi diimbangi NOII yang mencatatkan perkembangan 14.7% kepada RM1.34 bilion.

 

"Ia didorong pertumbuhan kukuh dalam pendapatan yuran dan pelaburan serta keuntungan dagangan daripada perbendaharaan kumpulan dan pasaran serta pendapatan bagi tukaran mata wang asing.

 

ambank
Jamie Ling

 

Kumpulan itu berkata, perbelanjaan menyusut 2.3% kepada RM2.05 bilion, meningkatkan sedikit nisbah kos kepada pendapatan kepada 44.2% daripada 44.6% sebelumnya. 

 

"Caj rosot nilai bersih lebih tinggi pada RM769.7 juta berbanding RM466.9 juta disebabkan kemerosotan kredit tambahan sebanyak RM328.2 juta dan kemerosotan aset tidak ketara sebanyak RM111.9 juta yang diambil pada 3QFY24," katanya.

 

Bank itu juga mengiktiraf peruntukan RM80 juta bagi perbelanjaan penstrukturan semula pada 3QFY24.

 

Katanya, jumlah caj sekali sahaja pada FY24 yang terdiri daripada tindanan rosot nilai kredit, rosot nilai aset tidak ketara dan perbelanjaan penstrukturan semula berjumlah RM520.2 juta.

 

Bagi FY24, jumlah pinjaman kasar dan pembiayaan meningkat 3% tahun ke tahun kepada RM134.1 bilion, terutamanya disebabkan oleh perbankan perniagaan dan runcit.

 

Jumlah deposit pelanggan meningkat 9.3% tahun ke tahun kepada RM142.4 bilion, didorong oleh pertumbuhan 9.9% dalam deposit masa kepada RM89.6 bilion dan peningkatan 8.1% dalam akaun simpanan akaun semasa (CASA) kepada RM52.8bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Jamie Ling berkata, bank itu menjangkakan pasaran kewangan global kekal tidak menentu, tertumpu pada prospek inflasi dan hala tuju dasar monetari pada kadar faedah di seluruh dunia.

 

"Permintaan luar bertambah baik walaupun terdapat ketegangan dan konflik geopolitik yang berterusan. 

 

"Dalam negara, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4% hingga 5% untuk ekonomi Malaysia pada 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang bertambah baik memacu penggunaan.

 

"Kami juga menjangkakan peningkatan aktiviti pelancongan untuk meningkatkan ekonomi dan kesan limpahan kitaran naik teknologi untuk memacu pelaburan langsung asing ke negara kita," katanya. - DagangNews.com