Untung bersih FY24 Powerwell melonjak 3 kali ganda kepada RM19.71 juta didorong hasil positif projek bernilai tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY24 Powerwell melonjak 3 kali ganda kepada RM19.71 juta didorong hasil positif projek bernilai tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Untung bersih Powerwell Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) melonjak tiga kali kepada RM19.71 juta berbanding RM6.81 juta didorong hasil positif daripada beberapa projek bernilai tinggi seperti usahasama kilang semikonduktor dan pusat data.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah kumpulan, menunjukkan trajektori perkembangan positif sejak mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2020.

 

Katanya, projek-projek itu menyumbang kepada peningkatan ketara dalam margin keuntungan kasar kepada 29.7% tahun ini daripada 15.5% pada tempoh sebelumnya.

 

Keuntungan itu disokong penguranga kos operasi, sebahagiannya dikaitkan dengan hapus kira aset tidak ketara yang disambungkan kepada kos sistem ERP yang ditanggung pada tahun sebelumnya.

 

"Bagaimanapun, hasil kumpulan menyusut sedikit kepada RM154.77 juta daripada RM159.09 juta disebabkan pengurangan projek yang dilaksanakan dalam tahun kewangan semasa dipengaruhi projek kilang semikonduktor hampir siap.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu berjaya meriah projek besar daripada beberapa projek bernilai tinggi seperti projek loji tenaga solar di Bangladesh, pusat data dan projek hartanah komersial yang menyumbang secara positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24), untung bersih kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM6.46 juta berbanding RM2.8 juta tetapi hasil bagi suku berkenaan menyusut kepada RM21.8 juta berbanding RM57.6 juta.

 

Pengarah Eksekutif kumpulan, Catherine Wong berkata, kejayaan itu adalah bukti kepada usaha keras pasukan di semua peringkat organisasi. 

 

Beliau berkata, kumpulan akan kekal fokus bagi meningkatkan nilai pemegang saham melalui rumusan inovatif dan amalan pengurusan yang berhemah.

 

"Dengan pasaran Malaysia diunjurkan menarik pelaburan berjumlah AS$2.25 bilion menjelang 2028, kumpulan itu berjaya meriah pesanan pembelian bernilai RM57.61 juta bagi pusat data di Selangor, menyerlahkan peranan strategiknya dalam sektor itu," katanya.

 

Powerwell mengisytiharkan pembayaran dividen satu peringkat ketiga sebanyak 1.0 sen sesaham biasa bagi FY24 (dibayar pada 30 Julai 2024), menjadikan jumlah pembayaran dividen untuk FY24 kepada 3.0 sen sesaham biasa. - DagangNews.com