Untung bersih Guan Chong bagi 3QFY22 menyusut 10.7% kepada RM30.4 juta kesan kenaikan kadar faedah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Guan Chong bagi 3QFY22 menyusut 10.7% kepada RM30.4 juta kesan kenaikan kadar faedah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Untung bersih Guan Chong Berhad bagi 3QFY22 menyusut 10.7% kepada RM30.4 juta berbanding RM34.5 juta pada tahun sebelumnya kesan daripada kenaikan kadar faedah dan kelemahan ringgit.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan kos tenaga yang lebih tinggi di kilang coklat perindustrian di Jerman, Schokinag-Schokolade-Industrie GmbH (Shcokinag) menjejaskan keuntungan keseluruhan kumpulan kesan daripada ketegangan Ukraine-Rusia.

 

Walaupun mencatatkan keuntungan yang lebih rendah namun hasil kumpulan itu mencatatkan peningkatan 10.3% kepada RM1.1 bilion berbanding RM998.1 juta pada tahun lalu.

 

Hasil yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh harga jualan purata yang lebih tinggi bagi sebuk koko dan peningkatan jumlah jualan sebanyak 5.2%.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Guan Chong, Brandon Tay Hoe Lian berkata, operasi kumpulan berdepan perubahan drastik dinamik pasaran seperti peningkatan kadar faedah serta kenaikan kos tenaga di Eropah.

 

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengekalkan keuntungan setakat tahun ini namun bewaspada dengan cabaran semasa selain akan terus fokus kepada kecekapan operasi bagi mengekalkan margin keuntungan.

 

"Pada masa sama, kami menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak jualan pada masa hadapan daripada kilang Ivory Coast dan kilang lain di Malaysia dan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi 3QFY22, kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) telah mengakibatkan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasikan sebanyak RM17.1 juta akibat daripada pinjaman kumpulan dalam dolar AS.

 

Dolar AS meningkat daripada RM4.408 pada 30 Jun 2022 kepada RM4.634 pada 30 September 2022.

 

Mengenai prospek, Guan Chong optimis dengan kumpulan terus meningkatkan jualan hadapan bahan kokonya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Ini adalah petunjuk permintaan berdaya tahan berterusan untuk bahan koko, disokong oleh pemulihan dalam perjalanan udara dan pelancongan global. - DagangNews.com