Untung bersih Pavilion REIT pada 2QFY24 meningkat kepada RM67.1 juta, disumbangkan pendapatan hartanah baharu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pavilion REIT pada 2QFY24 meningkat kepada RM67.1 juta, disumbangkan pendapatan hartanah baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - Untung bersih Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat kepada RM67.1 juta berbanding RM62.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu disumbangkan pendapatan hartanah baharu.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Pavilion REIT berkata, pendapatannya bagi suku tahun itu meningkat kepada RM201.3 juta berbanding RM159.9 juta pada 2QFY23.

 

Katanya, peningkatan ini disumbangkan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Kuala Lumpur yang meningbangi kehilangan hasil pengiklanan daripada Elite Pavilion Mall akibat usaha menaik taraf skrin LED.

 

"Hasil yang tinggi itu juga disumbangkan daripada pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada hartanah sedia ada," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatan hartanah bersih juga lebih tinggi sebanyak RM19 juta atau 19% pada 2QFY24 berbanding 2QFY23.

 

Dalam pemakluman itu, Pavilion REIT berkata, jumlah perbelanjaan operasi hartanah adalah lebih tinggi sebanyak RM22.3 juta atau 38% berbanding 2QFY23 disebabkan perbelanjaan operasi untuk hartanah baharu dan penyelenggaraan hartanah.

 

Katanya, kos utiliti yang lebih tinggi disebabkan oleh langganan tarif elektrik hijau daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

"Kos pinjaman juga meningkat sebanyak RM13.8 juta disebabkan oleh pengeluaran pinjaman tambahan untuk pemerolehan hartanah pelaburan. Sejumlah RM4.3 juta juga diiktiraf dalam kos pinjaman sebagai pelarasan nilai semasa kepada pembayaran pemerolehan tertunda," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, Pavillion REIT berkata, Retail Group Malaysia telah menyemak semula anggaran pertumbuhan jualan runcitnya kepada 3.6% daripada 4.0% yang diramalkan pada Mac disebabkan jualan runcit yang sederhana untuk suku kedua dan kebimbangan berterusan terhadap peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada pengguna merentasi semua kumpulan pendapatan.

 

Katanya, pengurusan kos akan kekal menjadi focus utama Pavilion REIT selain terus memperhalusi campuran penyewanya dan meningkatkan usaha pemasaran. - DagangNews.com