Untung bersih Q2 MISC melonjak kepada RM538.8 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 MISC melonjak kepada RM538.8 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 13 Ogos - Untung bersih MISC Bhd. bagi suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2021 melonjak 79.9% kepada RM538.8 juta berbanding RM299.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi kewangan ini didorong rosot nilai yang lebih rendah dan peningkatan bagi penghantaran petroleum dan perniagaan bukan perkapalan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

MISC berkata, pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 7.3% kepada RM2.35 bilion berbanding RM2.19 bilion bagi tempoh sama tahun lalu didorong peningkatan bagi perniagaan luar pesisir dan bahagian kejuruteraan berat.

 

"Ini kerana sumbangan bahagian perkapalan minyak dan produk mencatat penurunan, disebabkan kadar pengangkutan dan pendapatan yang rendah daripada penjualan kapal dan penghantaran semula sejak tahun lalu. 

 

"Sementara itu, segmen gas asli cecair (LNG) pula kekal tidak berubah di sebalik penghantaran ethana disebabkan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya hari ini. 

 

Di peringkat keuntungan operasi, ia meningkat 19.9% kepada RM627 juta berbanding RM522.9 juta. 

 

Kumpulan merekodkan rosot nilai sebanyak RM42 juta pada suku terakhir, berbanding RM306 juta tahun lalu.

 

Dari segi segmen perniagaan, MISC menyaksikan kerugian yang jauh lebih kecil bagi bahagian kejuruteraan marin dan berat kerana asas yang lebih rendah pada suku tahun lalu disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Bagi tempoh 6 bulan, kumpulan merekodkan perolehan sebanyak RM4.89 bilion, meningkat 4.1% berbanding RM4.7 bilion bagi tempoh sama berakhir 30 Jun 2020. 

 

Keuntungan operasi kumpulan pula menurun 20.3% kepada RM1.09 bilion bagi tempoh itu berbanding RM1.37 bilion tahun lalu.

 

MISC merekodkan untung bersih bagi tempoh 6 bulan itu sebanyak RM968.6 juta berbanding kerugian bersih RM857.3 juta yang dialaminya bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kerugian tahun lalu terutamanya disebabkan tuntutan mahkamah sebanyak RM1.05 bilion pada suku pertama 2020 serta rosot nilai yang lebih meluas.

 

Mengenai prospek kumpulan, MISC menjangkakan pendapatan yang lebih stabil menerusi kontrak sedia ada yang diraih di bawah segmen perniagaan LNG dan luar pesisir.

 

"Kadar penghantaran LNG dilihat kekal teguh dalam tempoh terdekat terutama dengan permintaan kapal bagi import LNG ke pasaran Asia, Eropah dan Amerika Selatan," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, pasaran penghantaran petroleum terus kekal lemah memandangkan kadar penghantaran masih di bawah tekanan daripada lebihan bekalan kapal di sebalik pandemik COVID-19 yang masih berterusan. - DagangNews.com