Untung bersih Q4 Scientex melonjak 29.8% dipacu segmen hartanah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q4 Scientex melonjak 29.8% dipacu segmen hartanah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Scientex Berhad menyaksikan keuntungan bersihnya pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) yang berakhir 31 Julai lalu menokok 29.8% kepada RM142.65 juta. 

 

Untung bersih itu meningkat daripada RM109.88 juta yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya, terutamanya dipacu oleh prestasi jualan lebih baik dalam segmen hartanah kumpulan. 

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, keuntungan bersih Scientex melonjak sedikit sebanyak 0.4% daripada RM142.05 juta, sekali gus mendorong peningkatan 17.2% dalam keuntungan bersihnya kepada RM457.23 juta untuk prestasi sepanjang FY21. 

 

Lembaga Pengarah Scientex mencadangkan pemberian dividen akhir sebanyak 5 sen sesaham yang akan dibayar pada 13 Januari 2022, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham kumpulan. 

 

“Hasil segmen hartanah adalah sebanyak RM352.9 juta, menyaksikan peningkatan 5.9% daripada RM333.2 juta yang dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun lalu. Hasil yang lebih tinggi ini terutamanya dipacu oleh perkembangan pembilan kukuh daripada projek di Scientex Durian Tunggal di Melaka dan Taman Pulai Mutiara di Johor yang sedang berjalan. 

 

“Kumpulan juga menyaksikan sumbangan kukuh daripada projeknya di Scientex Tasek Gelugor  di Pulau Pinang, Scientex Kundang Jaya di Selangor, Scientex Durian Tunggal 2 di Melaka yang baru dilancarkan, di mana terus menyumbang kepada peningkatan hasil bagi suku tahun semasa. 

 

“Seiring hasil yang lebih tinggi, keuntungan operasi bagi suku tahun terakhir itu bernilai RM118.4 juta berbanding RM112.6 juta yang dicatatkan bagi suku tahun sama, pada tahun lalu,” jelas kumpulan dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

 

Mengulas mengenai prospek, Scientex melihat ekonomi global terus memulih berikutan perdagangan antarabangsa mula meningkat dan ekonomi dunia secara beransur-ansur dibuka semula. 

 

Namun, pemulihan di beberapa ekonomi masih terjejas akibat pandemik COVID-19 kerana varian Delta baharu, katanya.

 

Ujar kumpulan, persekitaran keseluruhan pasaran di Malaysia kekal mencabar dan aktiviti perniagaan secara umumnya masih lagi terhad walaupun terdapat pelaksanaan pelbagai fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh Malaysia. 

 

“Namun, pelaksanaan PPN dan juga vaksinasi dijangka menyuntikkan elemen positif kepada pasaran domestik memandangkan sekatan dalam operasi dan aktiviti perlahan-lahan dilonggarkan, dan dijangka memupuk aktiviti ekonomi lebih baik,” kata kumpulan lanjut. - DagangNews.com