Untung bersih Samaiden bagi 1QFY23 meningkat 18.02% kepada RM2.44 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Samaiden bagi 1QFY23 meningkat 18.02% kepada RM2.44 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Untung bersih Samaiden Group Berhad meningkat 18.02% kepada RM2.44 juta bagi 1QFY23 berbanding RM2.07 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik dan loji kuasa itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 71.82% kepada RM40.77 juta berbanding RM23.73 juta yang dicatatkan pada 1QFY22.

 

Perkhidmatan EPCC menyumbang kira-kira 99.63% daripada hasil Samaiden pada 1QFY23 manakala perniagaannya yang lain ialah perundingan alam sekitar dan operasi dan penyelenggaraan.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Ir. Chow Pui Hee berkata, prestasi kewangan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam bilangan projek serta nilai yang lebih tinggi daripada jumlah kontrak.

 

Beliau positif terhadap pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040 pada September 2022 kerana ia menggariskan masa depan dan keutamaan utama bagi sektor tenaga pada tahun-tahun akan datang dan dasar itu akan meletakkan sektor tenaga sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi.

 

"Pendapatan kami juga disokong pembukaan baharu permohonan kuota 600MW oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di bawah inisiatif Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

samaiden
Ir. Chow Pui Hee

 

"CGPP menggunakan perjanjian pembelian kuasa maya untuk membolehkan penjualan tenaga boleh diperbaharui kepada pelanggan korporat pada harga yang dipersetujui bersama dan tempoh kontrak.

 

"Pemaju ladang solar berskala besar dan/atau penjana boleh mengambil bahagian dalam pasaran elektrik yang dikendalikan oleh Pembeli Tunggal melalui mekanisme New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan perdagangan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, peningkatan penggunaan sistem solar PV dan loji kuasa oleh perniagaan yang berminat untuk mempercepatkan usaha mereka dalam inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) juga akan memberi peluang kumpulan itu menawarkan perkhidmatan EPCC bagi pemasangan sistem solar PV.

 

"Kami akan terus memanfaatkan kecekapan dan pengalaman teras kami dalam menyediakan perkhidmatan hujung ke hujung untuk potensi solar PV dan projek bukan solar yang lain," katanya.

 

Sejak awal FY23, Samaiden telah memperoleh kontrak EPCC baharu dengan nilai gabungan kira-kira RM8.10 juta.

 

Kejayaan meraih kontrak baharu itu menjadikan kontrak semasa kepada RM325.40 juta pada 30 September 2022 dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang. - DagangNews.com