KUALA LUMPUR 15 Mei - Untung bersih Samchen Holdings Berhad menyusut 71.1% kepada RM6.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM22.7 juta pada suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM255.39 juta bagi suku berkenaan, berbanding RM364.51 juta bagi suku yang sama pada tahun sebelumnya, yang mewakili penurunan sebanyak 29.94%.
"Penurunan hasil adalah disebabkan oleh penurunan dalam purata harga jualan dan jumlah jualan pada suku semasa dalam semakan berbanding suku yang sama," katanya.
Kumpulan itu berkata, prestasi mereka didorong permintaan dan penawaran bahan kimia dalam pasaran, penggunaan serantau dan keadaan ekonomi serta boleh dipengaruhi oleh turun naik kadar pertukaran, persaingan dan gangguan terhadap permintaan dan penawaran.
"Pihak pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan pengembangan produk dan penawaran perkhidmatan baharu untuk meningkatkan prestasi kumpulan," katanya.
Melainkan keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah sentiasa optimis dengan prestasi kumpulan untuk baki tahun kewangan.
Walaupun kumpulan itu meramalkan tahun hadapan yang mencabar dan dinamik, mereka percaya akan dapat mengharungi keadaan ekonomi yang sukar. - DagangNews.com