Untung bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga pada 1QFY24 meningkat 9% kepada RM102.3 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga pada 1QFY24 meningkat 9% kepada RM102.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 9% kepada RM102.3 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding RM93.9 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pendapatan mereka juga melonjak 40% kepada RM892.2 juta pada 1QFY24 berbanding RM635.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, iaitu peningkatan ketara sebanyak RM256.9 juta. 

 

Katanya, peningkatan pendapatan ini didorong oleh caruman yang lebih tinggi daripada perniagaan takaful am dan peningkatan dalam perlindungan takaful untuk perniagaan takaful keluarga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, keuntungan yang lebih tinggi bagi suku tersebut disumbangkan oleh perniagaan takaful am dan margin perkhidmatan kontraktual (CSM). 

 

"Sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan kedudukan dalam industri insurans dan takaful, kami terus memberi tumpuan dengan memanfaatkan kedudukan kami yang kukuh dalam perniagaan bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am, serta mempelbagaikan portfolio perniagaan ke pasaran runcit untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan.

 

takaful
Nor Azman Zainal

 

“Perniagaan takaful keluarga kami menjana pendapatan takaful sebanyak RM449.6 juta pada suku berkenaan, meningkat 57% berbanding RM286.5 juta pada tempoh yang sama tahun lepas disebabkan pendapatan takaful yang lebih tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan. 

 

"Cabang takaful am, Takaful Malaysia Am, mencatatkan pendapatan sebanyak RM350.4 juta pada 1QFY24, meningkat 20% berbanding RM291.4 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

 

Nor Azman berkata, kumpulan itu berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan strategi perniagaan dalam memberikan nilai kepada para pemegang kepentingan dan memperkukuhkan kedudukan dalam industri. 

 

Beliau berkata, strategi untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam pasaran runcit dengan memperkenalkan Kaotim, sebuah platform digital yang diuruskan Takaful Malaysia yang menawarkan pelan perlindungan yang lebih mampu milik.

 

“Kami akan menawarkan pelbagai pelan perlindungan yang komprehensif pada harga yang kompetitif sebagai pendorong utama pertumbuhan. 

 

"Selain itu, kami komited kepada agenda digital kami melalui integrasi digitalisasi dan teknologi untuk mengoptimumkan operasi perniagaan serta meningkatkan pengalaman pelanggan yang penting bagi kelestarian perniagaan kami pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com