Untung bersih teras Gamuda bagi 3QFY24 diramal meningkat sehingga RM250 didorong kemajuan projek luar negara | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras Gamuda bagi 3QFY24 diramal meningkat sehingga RM250 didorong kemajuan projek luar negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Untung bersih teras Gamuda Bhd bagi 3QFY24 dijangka meningkat antara RM230 juta hingga RM250 juta didorong oleh kemajuan lebih baik daripada projek luar negara.

 

RHB Investment berkata, kemajuan projek Sydney Metro West diramal memacu prestasi kumpulan itu pada suku ketiga.

 

"Kami memihak kepada Gamuda terutama bagi pendedahan luar negara yang besar sambil mengekalkan berdaya saing dalam ruang domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mungkin melepasi sasaran bagi mendapatkan kontrak baharu bernilai RM25 bilion sepanjang FY24-FY25

 

Katanya, setakat tahun ini, Gamuda telah memenangi kira-kira RM7 bilion kontrak baharu.

 

RHB meramalkan sasaran kontrak kumpulan itu ialah sebanyak RM13 bilion untuk FY24 dan RM15 bilion untuk FY25.

 

"Kemenangan pekerjaan terdekat untuk kumpulan itu mungkin datang daripada pakej terowong timur Suburban Rail Loop (SRL) di Melbourne, dianggarkan bernilai sehingga RM4.7 bilion," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara projek lain yang berpotensi termasuk pakej keseluruhan talian untuk projek SRL, lebuh raya di Victoria dan projek isyarat berkapasiti tinggi di Perth bernilai lebih RM3.13 bilion.

 

Di dalam negara, katanya, pelabur perlu mengambil kira Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara Segmen 1, yang boleh diberikan pada September atau Oktober tahun ini, dianggarkan RM4.8 bilion, serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang menelan kos RM1.5 bilion.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.69 sesaham.  - DagangNews.com