Untung bersih teras TM pada suku pertama 2024 melebihi jangkaan didorong kos operasi rendah, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras TM pada suku pertama 2024 melebihi jangkaan didorong kos operasi rendah, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Untung bersih teras Telekom Malaysia Bhd (TM) pada suku pertama tahun ini melebihi jangkaan dan konsensus didorong kos operasi yang lebih rendah daripada jangkaan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Bagaimanapun, pengurusan mengekalkan unjuran bahawa pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) selain menyedari bahawa akan berlaku kenaikan kos serta persaingan yang semakin sengit dalam pasaran telekomunikasi.

 

"Kami menyakini bahawa TM secara dasarnya adalah penerima manfaat utama daripada ledakan pusat data di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 29% pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) kepada RM424.81 juta berbanding RM330.1 juta pada tahun sebelumnya disebabkan kos operasi yang lebih rendah.

 

Hasil kumpulan bagi suku tersebut meningkat 1.8% tahun ke tahun kepada RM2.84 bilion daripada RM2.79 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil internet kumpulan itu dari suku tahun ke suku tahun adalah lebih rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan persaingan yang semakin sengit.

 

Bagaimanapun, Unifi terus mencatatkan penambahan pelanggan bersih pada suku pertama tahun ini, walaupun pada purata setiap pengguna (ARPU) yang lebih rendah.

 

"Perbelanjaan operasi kumpulan menunjukkan aliran suku tahun ke suku tahun lebih rendah berikutan ketiadaan rosot nilai dan perubahan perakaunan menyebabkan margin sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku pertama berkembang kepada 41.9%," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.80 sesaham.- DagangNews.com