Untung Khazanah susut 60%, isytihar dividen RM2 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung Khazanah susut 60%, isytihar dividen RM2 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Keuntungan daripada operasi yang dicatatkan Khazanah Nasional Berhad susut 60.8% kepada RM2.9 bilion pada 2020 berbanding RM7.4 bilion pada tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19.

 

Walaupun pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburannya meningkat kepada RM5.2 bilion daripada RM3.8 bilion, Khazanah meraih hasil pelupusan yang lebih rendah pada 2020 iaitu RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada 2019.

 

Kesan daripada pandemik COVID-19 turut menyaksikan peruntukan bagi rosot nilai meningkat kepada RM6 bilion, terutamanya bagi aset penerbangan dan perhotelan miliknya, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang tahun lalu, Khazanah mengisytiharkan dividen RM2 bilion kepada kerajaan, berbanding RM1 bilion pada 2019.

 

Kedudukan kewangan Khazanah bagaimanapun kekal kukuh dengan jumlah hutang dikurangkan sebanyak 6% kepada RM43.1 bilion daripada RM45.8 bilion pada 2019, manakala Lindungan Nilai Aset Boleh Tunai susut sedikit kepada 2.9 kali ganda berbanding 3.0 kali ganda.

 

 

Sidang akhbar prestasi kewangan Khazanah

​​​​​​

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi pada 2020 dicapai berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar serta impak pandemik COVID-19, yang belum pernah dilalui sebelum ini, pada operasi.

 

Jelasnya, Khazanah telah melaksanakan beberapa usaha tahun lepas yang banyak membantu dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi. 

 

"Kami juga telah mengenal pasti beberapa peluang pelaburan yang baik ketika berada dalam tempoh pandemik ini serta ketidakstabilan pasaran akibat daripadanya. 

 

"Khazanah terus mempelbagaikan portfolio globalnya sambil kami membina nilai mapan untuk Malaysia, selari dengan mandat jangka panjang kami," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Khazanah hari ini membentangkan Ulasan Tahunan 2021 secara maya yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan Khazanah, Faridah Bakar Ali. 

 

Dana Komersial menjana kadar pulangan berwajaran masa (TWRR) untuk tempoh 2 tahun sebanyak 1.5% berbanding pulangan jangka panjang Indeks Harga Pengguna Malaysia (CPI) + 3% atas asas 5 tahun. 

 

Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) Dana Komersial berada pada RM95.3 bilion pada akhir 2020.

 

Bagi Dana Strategik, ia mencatatkan keuntungan 0.3%2 pada 2020, berbanding kadar pulangan yang disasarkan
daripada hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) untuk tempoh 10 tahun atas asas 5 tahun. 

 

Nilai RAV untuk portfolio Dana Strategik berada pada RM27.9 bilion pada 31 Disember 2020, menurun kira-kira 15% berbanding RM32.9 bilion pada 2019 ekoran kejatuhan nilai pasaran aset tersenarai utama dan peruntukan yang dibuat atas rosot nilai bagi aset berkaitan penerbangan dan perhotelan.

 

Menurut Shahril Ridza, langkah-langkah yang terpaksa diambil untuk mengekang penyebaran COVID-19 telah mengakibatkan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan menerima kesan paling ketara. 

 

"Syarikat pelaburan kami seperti Malaysia Airlines (MAB), Malaysia Airports Holdings (MAHB) dan Themed Attractions Resorts & Hotels (TAR&H) tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pandemik ini. 

 

"Khazanah terpaksa memperuntukkan rosot nilai bagi beberapa aset miliknya, iaitu RM3.1 bilion untuk syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB) dan RM1.8 bilion untuk TAR&H, bagi mengurangkan impak akibat pandemik ini," jelasnya. 

 

Mengenai prospek 2021, beliau berkata, tahun ini akan terus menjadi tempoh yang mencabar meskipun Program Imunisasi COVID-19 Nasional telah bermula, proses vaksinasi di Malaysia dan di seluruh dunia akan memakan masa. 

 

"Kita akan dapat menyaksikan kemajuan ke arah pemulihan dan kembali seperti sediakala apabila dunia berjaya mengawal keadaan dengan lebih baik dan kesan daripada pelbagai inisiatif kesihatan awam dan pemulihan ekonomi terus meningkat," tambahnya. 

 

Menurut beliau, pada ketika Khazanah terus berusaha mengembangkan portfolio aset global bagi mengelak daripada kebergantungan pada sumber pendapatan domestik, diharapkan Malaysia secara keseluruhannya akan bergerak ke arah percambahan ekonomi serta meningkatkan usaha memudahkan pembukaan perniagaan, termasuk usaha penyahseliaan yang berterusan. 

 

:Ini akan mewujudkan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan pelbagai yang seterusnya akan dapat membantu negara berhadapan kejutan negatif pada masa depan," ujar beliau. - DagangNews.com