Untung sebelum cukai ELK-Desa Resources melonjak 141% kepada RM15.23 juta bagi 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai ELK-Desa Resources melonjak 141% kepada RM15.23 juta bagi 2QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - ELK-Desa Resources Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 141% kepada RM15.23 juta bagi 2QFY23.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat sebanyak 54% kepada RM36.04 juta dan ia didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabot. 

 

Jumlah penghutang sewa beli kumpulan berjumlah RM521.12 juta, iaitu 11% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya manakala pinjaman bank kumpulan meningkat sebanyak 37% hasil daripada pengeluaran kemudahan diskaun blok yang lebih tinggi.

 

Bagi segmen sewa beli, hasil meningkat sebanyak 29% kepada RM24.09 juta pada suku tersebut terutamanya hasil daripada pengembangan portfolio sewa beli kumpulan.

 

Bagi segmen perabot kumpulan, hasil pada suku itu meningkat sebanyak 152% kepada RM11.95 juta dan kumpulan itu berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.13 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanak RM270,000 pada suku sama tahun lalu.

 

Peningkatan prestasi itu adalah disebabkan jualan perabot yang tinggi berbanding semasa Peintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan operasi pada suku sebelum ini.

 

Dalam tempoh enam bulan, hasil kumpulan meningkat 37% kepada RM74.99 juta manakala keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 192% kepada RM28.60 juta.

 

Pengarah Eksekutifnya yang juga Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Teoh Seng Hee berkata, sumbangan keuntungan yang ketara daripada segmen sewa beli dalam enam bulan pertama tahun kewangan ini adalah lebih baik daripada jangkaan hasil daripada pembalikan elaun rosot nilai ke atas penghutang dalam segmen itu.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka trend pembalikan sedemikian akan berterusan untuk baki tahun kewangan berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran operasi seperti peningkatan kos sara hidup dan tamat tempoh moratorium pinjaman bank yang memberi kesan kepada pendapatan pelupusan peminjam.

 

"Kumpulan telah mencapai prestasi kewangan yang lebih baik dalam enam bulan pertama FY23 berbanding keseluruhan FY22 kesan daripada normalisasi aktiviti perniagaan.

 

"Lembaga Pengarah ELK-Desa akan berusaha untuk meneruskan momentum ini dan memberikan prestasi yang lebih baik untuk FY23," katanya. - DagangNews.com