KUALA LUMPUR 20 Jan - RHB Research menjangkakan keuntungan teras KKB Engineering Berhad menurun lebih daripada 25% dari tahun ke tahun bagi suku terakhir tahun kewangan 2022 (4QFY22) disebabkan ketiadaan kontrak untuk membekalkan paip keluli lembut di Sarawak.
Bagaimanapun firma itu turut menjangkakan keuntungan teras kumpulan itu dari bulan ke bulan akan melonjak lebih 50% pada 4QFY22 antara RM3 juta hingga RM4.5 juta.
Bagi tahun kewangan 2023 (FY23), firma itu mengunjurkan tahun kewangan yang lebih kukuh berbanding dengan FY22, disokong prospek pekerjaan yang lebih baik daripada kemungkinan pelancaran fasa kedua Program Grid Bekalan Air Sarawak tahun ini dan lebih banyak struktur fabrikasi tetap minyak dan gas.
Firma itu percaya, kumpulan itu menjadi pilihan kebanyakan penggiat industri.
“Pada November 2022, KKB dilantik sebagai kontraktor utama bagi projek kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) platform kepala telaga standard (SWP) untuk Sarawak Shell Berhad dan Sabah Shell Petroleum Co Ltd, berkuat kuasa selama lima tahun,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, selaras dengan itu, Sarawak Shell menganugerahkan kumpulan itu kontrak EPC untuk tiga SWP yang merangkumi Pembangunan Medan Gas MLNG FaS (F27, F22 dan Selasih), dengan nilai kontrak keseluruhan RM351.7 juta.
Firma itu percaya bahawa kumpulan itu menjadi pilihan utama untuk membida pekerjaan fabrikasi bagi projek Rosmari Marjoram, berikutan memorandum persefahaman dengan Samsung Engineering Co Ltd yang ditandatangani pada Oktober 2021.
Selepas mengambil kira kontrak terkini Sarawak Shell, firma penyelidikan itu menganggarkan jumlah kontrak kumpulan itu berada antara RM500 juta hingga RM600 juta.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham berbanding RM1.60 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com