UPM teroka potensi besar penternakan arnab | DagangNews Skip to main content

UPM teroka potensi besar penternakan arnab

Oleh Nur Syamila Kamarul Arefin

PENTERNAKAN arnab boleh menjana pendapatan dengan menjual arnab hidup, membuat mini zoo arnab di mana pengunjung terutama kanak-kanak dapat bermain dan memberi makan kepada arnab.

 

Sekumpulan pelajar dari Kolej 14, Universiti Putra Malaysia (UPM), menggunakan tanah dalam kawasan kolej bagi projek penternakan arnab dan juga mengusahakan kebun sayur-sayuran.

 

Pelajar Bacelor Sains Haiwan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian dari Kolej 14, UPM, Muhammad Hasif Muhairi menceburkan diri dalam bidang penternakan dengan menjual arnab hidup sejak Disember 2023 untuk mencari pengalaman sebagai penternak dan juga seorang usahawan tani.

 

 

hikayat

 

 

Pada permulaanya pelajar kolej 14 ini hanya membeli lima ekor induk arnab spesies New Zealand white, tiga ekor betina dan dua ekor jantan pada harga RM25 seekor.

 

Kini arnab di Kolej 14 dipelihara di dalam sebuah khemah dan membiak sebanyak 15 ekor untuk dijual sebagai haiwan peliharaan di rumah.

 

"Kami memilih arnab kerana perbelanjaan permulaan untuk memulakan penternakan arnab juga tidak tinggi dengan nilaian benih baka yang tidak seperti lembu, kambing dan sebagainya. Jadi ini adalah satu sub sektor penternakan yang mudah dimulakan oleh kami sebagai anak-anak muda.

 

"Arnab boleh dipelihara dalam sangkar dan tidak memerlukan kawasan yang luas. Keadaan ini amat berbeza dengan penternakan ayam, lembu dan kambing yang memerlukan kawasan tanah yang besar dan memerlukan kos yang tinggi untuk menyediakan infrastruktur yang lengkap iaitu kandang, stor penyimpanan makanan dan  sebagainya.

 

Cabaran mengusahakan ternakan itu, katanya apabila arnab yang diternak mengalami penyakit kurap.

 

Arnab yang menghidap penyakit kurap akan diasingkan sehingga sembuh dan dirawat oleh para pelajar dari Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

 

Sementara itu, mereka juga tidak hanya tertumpu kepada penternakan arnab sahaja tetapi juga tanaman sawi, bayam dan juga kangkung.

 

 

UPM

 

 

Menurut pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan kepujian, Tamilarasan A/L E Nagarajan, sayur-sayur yang dipilih adalah sayur yang mudah untuk dijaga dan selalu dimakan oleh masyarakat di Malaysia.

 

Pengetua kolej 14, UPM, Prof. Madya Dr. Mohamad Aris Mohd Moklas, projek penternakan arnab dan projek pertanian ini adalah menyokong hasrat universiti dalam bidang pertanian iaitu tanaman dan penternakan.

 

"Kami di peringkat kolej menyokong dan memberi bantuan bagi memastikan aktiviti ini dapat dilaksanakan oleh peljar di kolej ini.

 

Projek penternakan arnab ini adalah sebuah ruang untuk para pelajar menjadi seorang penternak arnab dan juga seorang petani.

 

"Projek arnab ini adalah satu ruang untuk pelajar belajar menjadi seorang penternak dan boleh menjual hasil tanaman dan juga ternakan yang telah diusahakan.

 

 

UPM

 

 

"Proses ini adalah sebuah pengetahuan tambahan untuk mereka belajar menambah pendapatan sampingan. 

 

"Saya berharap Kolej 14 akan menjadi pusat pertanian pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com