KUALA LUMPUR 1 Ogos - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakar sejarah apabila menganjurkan 25th ASEAN Regional Forum Heads of Defence Universities/Colleges/Institutions Meeting 2023 (ARF HDUCIM).
Ini merupakan julung-julung kalinya UPNM menjadi Pengerusi ARF HDUCIM Ke-25 Tahun 2023 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan di sini.
Sebelum ini Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) telah mempengerusikan ARF HDUCIM Ke-10 pada tahun 2006.
Forum yang telah bermula sejak tahun 1997 mempunyai 27 buah negara termasuk negara-negara ASEAN dan negara rakan dialog.
Antaranya Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat, Rusia, Korea, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Timor-Leste.
Forum ini merupakan platform membincangkan isu-isu keamanan dan keselamatan dalam kalangan institusi ketenteraan di wilayah Asia Pasifik.
Selain itu, negara-negara keanggotaan turut membincangkan perkara-perkara berkaitan pendidikan, penyelidikan, latihan dan pembangunan profesional yang berpaksikan pertahanan dan keselamatan.
Tema yang diangkat pada kali ini ialah 'Defence Education Diplomacy for Sustainable Peace and Security'.
Terdahulu, majlis perasmian ARF HDUCIM 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.
Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, mempengerusikan forum sidang pertama dan kedua manakala Naib Canselor Gen Sir John Kotelawala Defence University (KDU) Sri Lanka mempengerusikan forum sidang ketiga.
Pada hari terakhir forum, UPNM akan menyerahkan tugas Pengerusi kepada KDU Sri Lanka yang akan mempengerusi dan menganjurkan ARF HDUCIM Ke-26 pada tahun berikutnya. - DagangNews.com