Urus niaga mencurigakan, tiada keperluan mendesak jual pegangan MAHB - Radzi Jidin | DagangNews Skip to main content

Urus niaga mencurigakan, tiada keperluan mendesak jual pegangan MAHB - Radzi Jidin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin menyifatkan penjualan 30% saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat asing merupakan urus niaga yang amat mencurigakan dan tiada sebarang keperluan mendesak untuk menjual pegangan MAHB kepada syarikat asing.

 

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat terlalu gelojoh untuk mengeluarkan MAHB daripada Bursa Malaysia melalui konsortium yang diketuai Khazanah, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), sedangkan syarikat itu memiliki potensi besar.

 

Katanya, adalah janggal apabila jumlah peratusan pegangan saham oleh ADIA dan GIP tidak dinyatakan dengan jelas di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan dan seharusnya bagi satu tawaran besar sebegini, truktur pemilikan adalah jelas daripada awal tawaran.

 

 

Beliau berkata, MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah, bagi tahun kewangan 2023, kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 billion. 

 

MAHB

 

"Jadi di mana rasionalnya keputusan menggadaikan blok 30% saham MAHB ini? Kalau hendak dikatakan MAHB membebankan, tentunya tidak. 

 

"Amat jelas bahawa tiada keperluan mendesak untuk menjual blok 30% saham MAHB kepada syarikat asing. Siapa sebenarnya yang akan mendapat manfaat dan mengaut keuntungan daripada urus niaga ini?," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airports terima tawaran pengambilalihan RM11 sesaham bernilai RM12 bilion

 

Radzi berkata, hakikatnya, aset logistik, khususnya di Asia, menjadi buruan pelbagai pihak kerana kedudukan geografi Malaysia yang strategik menjadikan ramai pihak ingin mencari peluang memiliki asset strategik di rantau ini. 

 

klia

 

Beliau berkata, jika diambil beberapa contoh negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam, syarikat yang menguruskan lapangan terbang di negara tersebut dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan atau dimiliki sebahagian besarnya oleh kerajaan tanpa diberikan satu blok saham yang besar kepada syarikat asing.

 

"Kalau hendak dikatakan MAHB tiada kepakaran, mereka mempunyai pengalaman yang cukup panjang dan kedudukan kewangan yang baik, termasuk menguruskan Istanbul Sabiha Gokçen International Airport di Turkiye. Jika perlukan kepakaran juga, apakah kepakaran tersebut tidak boleh diperoleh tanpa menggadaikan blok 30% saham MAHB kepada syarikat asing?," katanya 
 

Beliau berkata, nilai sebenar MAHB adalah pada konsesi yang dipegang syarikat  tersebut melibatkan 39 lapangan terbang di seluruh negara dan konsesi itu dilanjutkan sehingga 2069.

 

Beliau berkata, kerajaan sanggup butakan mata tentang hakikat bahawa kesemua 39 lapangan terbang ini adalah aset strategik negara. 

 

"Jika dibaca kenyataan media yang dikeluarkan berkaitan urus niaga tersebut, hampir keseluruhannya menyentuh tentang kekuatan yang ada pada MAHB, khususnya jaringan lapangan terbang. 

 

"Dalam persaingan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar, tentunya jaringan lapangan terbang ini dinilai sebagai satu komponen logistik yang amat penting," katanya.   - DagangNews.com