Urusan jual beli saham menerusi airasia Super App | DagangNews Skip to main content

Urusan jual beli saham menerusi airasia Super App

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pengguna aplikasi airasia Super App kini boleh melakukan urus niaga jual beli saham susulan memorandum persefahaman (MoU) anak syarikat Capital A Berhad itu dengan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. bagi kerjasama strategik perdagangan ekuiti.

 

Inisiatif itu adalah sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang bertujuan untuk memperkasakan pelabur dalam membina masa depan yang lebih baik. 

 

Ia ditawarkan melalui nasihat pelaburan yang berkualiti dan keupayaan yang dipertingkatkan dari segi teknologi untuk memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang.

 

Ketua Pegawai Teknologi Kewangan airasia Super App, Mohamad Hafidz Mohd. Fadzil berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan CGS-CIMB Securities kerana ia sejajar dengan kami untuk menawarkan perkhidmatan yang inklusif, berpatutan dan boleh diakses untuk semua. 

 

"Kami percaya kami dapat menyediakan perkhidmatan kewangan terbaik yang sebelum ini hanya tersedia untuk golongan tertentu dan terhad, seterusnya memenuhi matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan untuk semua golongan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities, Ruzi Rani Ajith berkata, menerusi pengalaman lebih 40 di Asia, mereka berjaya berkembang daripada broker tradisional kepada penyedia penyelesaian kewangan yang dipercayai bukan sahaja untuk pelanggan institusi malah untuk semua. 

 

"Dengan tumpuan pada elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) , kami akan mengimbangi kedudukan pasaran dengan menyediakan kursus kewangan supaya sebagai “sesiapa pun boleh melabur” dan melakukannya dengan pengetahuan dan kebijaksanaan. 

 

"Visi kami adalah untuk mencipta peluang pelaburan kepada semua golongan, dengan platform yang mudah digunakan dan berpatutan," katanya. - DagangNews.com