Usaha kurangkan pengangguran lebih tersusun dengan Pemulih | DagangNews Skip to main content

Usaha kurangkan pengangguran lebih tersusun dengan Pemulih

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Usaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan lebih tersusun melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melalui pakej berkenaan, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengumumkan lanjutan program PenjanaKerjaya 2.0 untuk meneruskan usaha berkenaan.

 

"Menerusi kategori Malaysianisation di bawah PenjanaKerjaya 3.0, insentif berkenaan ditambah baik dengan merendahkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan untuk semua kumpulan pekerja yang digajikan bagi jawatan yang kebiasaanya diisi oleh pekerja asing.

 

"Selain itu, tempoh kontrak penggajian bagi semua kategori insentif juga dikurangkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kumpulan pencari kerja berumur 50 tahun ke atas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bekas banduan," jelasnya dalam Laporan LAKSANA ke-60 yang dikeluarkan hari ini.

 

Baca: Perkeso yakin tempatkan 180,000 pencari kerja

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, di bawah PenjanaKerjaya 3.0 juga, insentif KerjayaGig ditambah baik dengan perluasan skop pengambilan pekerja meliputi pekerjaan gig ataupun sementara.

 

Sebagai tambahan kepada kategori sedia ada, insentif kini dibuka kepada golongan penganggur tegar iaitu mereka yang menganggur lebih daripada 180 hari.

 

Selain itu, insentif penempatan pekerjaan untuk Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang menyokong usaha
pencarian pekerjaan juga ditambah baik.

 

Susulan itu, insentif sedia ada diperluaskan kepada kategori pekerja berkemahiran rendah dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan.

 

APS yang berjaya membantu pekerja kategori tersebut mendapat pekerjaan akan menerima insentif RM100 bagi setiap penempatan.

 

"Permohonan bagi program PenjanaKerjaya 3.0 ini akan dibuka mulai 15 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2021 dan dijangka akan menjana sebanyak 180,000 penempatan pekerjaan sehingga akhir tahun ini," jelas beliau lagi. - DagangNews.com