Usaha MPOC perluas promosi minyak sawit ke Turki | DagangNews Skip to main content

Usaha MPOC perluas promosi minyak sawit ke Turki

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara MPOC dan Bursa Komoditi Izmir, semalam.

 

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Komoditi Izmir, Turki menjalin memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan promosi minyak sawit di negara tersebut. 

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Bursa Komoditi Izmir yang diasaskan pada 1891 melalui cabang pendidikannya, Akademi Bursa Izmir (IBA) menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan, promosi dan penggunaan minyak sawit Malaysia serta Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

 

Katanya, MPOC dan IBA sepakat untuk bekerjasama melalui pelbagai projek merangkumi perkongsian maklumat perniagaan dan teknikal, peningkatan kesedaran, pensijilan dan aktiviti promosi bersama.

 

"Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik yang mampu meningkatkan pembangunan industri sawit Malaysia dan penguasaan pasaran.

 

"Selain itu, IBA bersetuju untuk menyelaraskan biasiswa kepada wakil, pelajar dan ahli akademik untuk latihan di bawah kajian lapangan IBA dan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Mohd. Khairuddin menyaksikan majlis MoU itu semalam, dengan MPOC diwakili Pengurus Pembangunan Pasaran dan Pemasaran, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala Bursa Komoditi Izmir diwakili Presiden Lembaga Eksekutif, Isinsu Kestelli. 

 

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Turki, Sazali Mustafa Kamal dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan
Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Mad Zaidi Mohd Karli. 

 

Malaysia dan Turki menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada 2015. 

 

Eksport minyak sawit Malaysia meningkat kepada lebih daripada 600,000 tan setiap tahun berbanding sebelum FTA iaitu kurang 100,000 tan setahun. 

 

Pada tahun lalu, Turki mengimport 615,872 tan minyak sawit Malaysia iaitu lebih 90% daripada jumlah import minyak sawit Turki.

 

Melalui kerjasama itu, IBA juga akan membantu MPOC untuk melaksanakan kempen penerangan kepada rakyat Turki yang mempunyai populasi 80 juta penduduk mengenai faedah pemakanan dan kesihatan minyak sawit Malaysia selain meningkatkan pemahaman serta menjelaskan kelebihan khasiatnya.

 

Mohd. Khairuddin berkata, persetujuan persefahaman turut dicapai untuk merancakkan lagi Program Kesedaran Perdagangan Minyak Sawit (POTAP) antara kedua-dua pihak untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai industri minyak sawit Malaysia dan faedahnya. 

 

"Kedua-dua agensi akan memperincikan program berkenaan melalui perjanjian berasingan yang akan diteliti dan ditentukan kemudian," katanya. 

 

Beliau berkata, kementerian berharap melalui memorandum ini, manfaat dan kefahaman minyak sawit negara dapat dipertingkatkan ke Turki seterusnya menjadi gerbang kepada eksport produk-produk sawit Malaysia ke Eropah. - DagangNews.com