IPOH 13 Ogos - Usahawan yang berjaya di negeri Perak disaran mengambil peluang memanfaatkan pelbagai inisiatif disediakan agensi kerajaan untuk meneroka pasaran luar.
Menerusi penglibatan dalam acara jualan di luar negara membolehkan para usahawan meningkatkan lagi keuntungan mereka.
Pada acara jualan Malaysia Fest di Singapura bulan lalu misalnya, lapan usahawan produk makanan Perak yang menyertai mencatat jualan keseluruhan kira-kira RM800,000.
Ini antara langkah usahawan dapat memajukan perniagaan mereka seterusnya mencipta peluang kerja pada penduduk setempat.
Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, penyertaan dalam acara seperti itu juga dapat membina rangkaian luas kepada usahawan.
Menurut beliau, setiap tahun terdapat lebih 10 acara jualan sama ada di dalam atau luar negara yang boleh disertai para usahawan.
“Setiap kali ada acara atau karnival jualan STeP akan memaklumkan kepada semua usahawan yang ada dalam senarai kita untuk mereka terlibat.
“Antaranya acara jualan di China, Australia, Indonesia, Singapura manakala dalam negara seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
“STeP sebagai agensi kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kepada para usahawan untuk menyertai acara-acara jualan ini.
“Penglibatan dalam acara-acara seperti ini membuka pasaran yang luas kepada usahawan, jadi sebab itu penting untuk direbut,” ujarnya kepada Dagang News.
Bagi acara jualan di luar negara misalnya, agensi kerajaan yang terlibat akan membuat penilaian untuk memilih usahawan dan produk yang sesuai untuk diketengahkan.
Justeru, komitmen tinggi diperlukan untuk menyertai acara jualan ini termasuk kos yang perlu mereka tanggung misalnya logistik.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Rozlan, penyertaan usahawan melalui agensi kerajaan yang dilantik misalnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah lebih mudah berbanding menyertainya sendiri.
“Terbaru, STeP membuka peluang kepada usahawan Perak menyertai sesi padanan produk oleh syarikat China untuk dibawa ke sana.
“Inilah peranan agensi kerajaan termasuklah STeP bagi memudahkan usahawan untuk memajukan perniagaan mereka,” ujar beliau. - DagangNews.com