USM juara reka bentuk pembangunan warga emas anjuran MyAgeing UPM | DagangNews Skip to main content

USM juara reka bentuk pembangunan warga emas anjuran MyAgeing UPM

 

SHAH ALAM 6 Nov. – Universiti Sains Malaysia meraih tempat pertama dalam pertandingan Reka Bentuk Pembangunan Berorientasi Persaraan 2019 (RODDC2019) iaitu pembangunan kawasan yang memenuhi keperluan warga emas, baru-baru ini.

 

Universiti tersebut diumumkan pemenang utama menerusi reka bentuk pembangunan bertajuk Hyden Park dengan membolot hadiah RM10,000 untuk menewaskan 47 pasukan lain yang merangkumi institut pengajian tinggi awam dan swasta.

 

Tempat kedua diraih Universiti Teknologi Malaysia bertajuk The Mount Link dengan meraih hadiah RM8,000 dan ketiga Universiti Teknologi Mara bertajuk Kaseh Sanctuary dengan mendapat hadiah RM6,000.

 

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata konsep pertandingan ialah Tropical, Sustainable and Enabling Senior Living.

 

Pertandingan menugaskan peserta untuk merancang penyelesaian yang mampan bagi pembangunan kawasan seluas 23 hektar di (UPM) Serdang yang memenuhi keperluan pelbagai kumpulan sasaran dan berorientasi warga emas.

 

“Peserta dicabar untuk mempertimbangkan reka bentuk yang cukup fleksibel bagi menampung saiz penghuni yang berbeza dari segi warga emas, keluarga, profesional bujang, pasangan, milenium selain mengambil kira keperluan mereka yang pelbagai,” katanya pada majlis penyampaian hadiah RODDC2019 secara maya di MyAgeingTM UPM.

 

Beliau berkata, objektif RODDC2019 untuk menggalakkan generasi pereka muda untuk merancang dan mereka bentuk pembangunan dengan kemudahan yang dapat memenuhi keperluan yang berbeza pada peringkat yang berbeza dalam kitaran kehidupan. 

 

UPM

 

Pertandingan anjuran MyAgeingTM dan Fakulti Reka bentuk dan Seni Bina, UPM dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP diadakan di MyAgeingTM, UPM dengan menawarkan wang tunai bernilai RM45,000 yang ditaja oleh  KWAP.

 

Sempena Hari Warga Emas Kebangsaan 2020 yang disambut setiap bulan Oktober, MyAgeingTM turut menganjurkan wacana ilmu secara maya bertajuk Age Friendly City: The Future of Community Living yang membincangkan persediaan Malaysia ke arahnegara tua” dengan populasi warga emas di Malaysia dijangka meningkat melebihi 5.1 juta, atau 15% daripada populasi penduduk Malaysia pada 2034.

 

Dr. Siti Anom berkata, turut dibincangkan ialah peranan yang perlu diambil oleh pihak pembuat dasar bagi memastikan warga emas mempunyai akses kepada persekitaran kediaman yang kondusif untuk kehidupan yang lebih sempurna. – DagangNews.com