Usul tergempar membahas penjualan saham MAHB ditolak Speaker Dewan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Usul tergempar membahas penjualan saham MAHB ditolak Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 24 Jun - Usul tergempar oleh Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendesak perbahasan segera berhubung keputusan kerajaan menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkaitan BlackRock ditolak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

 

“Usul tergempar saya untuk membahaskan penggantungan atau pembatalan penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Zionis telah ditolak oleh speaker.

 

"Saya akan terus berunding dan mendesak di Parlimen supaya perkara ini dapat dibincangkan, memastikan semua rakyat tahu apa yang sebenarnya berlaku dan akan berlaku mengenai 39 lapangan terbang strategik negara kita," katanya dalam catatan di Facebook.

 

Pada 21 Jun, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergemparnya di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2).

 

BACA: BlackRock sudah lama di Malaysia, nilai pelaburan kini lebih RM32 bilion

 

Wan Fayhsal berkata, usul yang sama telah dihantar awal bulan ini di bawah Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3) sebagai usul persendirian untuk dimasukkan dalam Perintah Urusan (hal ehwal bukan kerajaan) untuk pertimbangan dibahaskan.

 

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pembangkang membantah penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP), anak syarikat BlackRock, yang mempunyai kaitan dengan pengeluar senjata untuk Israel.

 

GIP berkata BlackRock tidak pernah terlibat dalam sebarang transaksi berkaitan penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

 

Pada masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian tegas pentadbirannya untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat Israel beroperasi di negara itu.

 

Bagaimanapun, bagi syarikat asing yang mempunyai hubungan atau kerjasama dengan negara Zionis, Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kehadiran mereka kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara. - DagangNews.com