UTP jalin kerjasama dengan EPOMS, Pahang Skills lahir pekerja berkemahiran dalam industri minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

UTP jalin kerjasama dengan EPOMS, Pahang Skills lahir pekerja berkemahiran dalam industri minyak dan gas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Universiti Teknologi Petronas (UTP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama E&P O&M Services Sdn. Bhd. (EPOMS) dan Pahang Skills Development Centre sebagai usaha memenuhi permintaan pekerja berkemahiran dalam industri minyak dan gas.

 

Universiti itu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu antara lain bertujuan menyediakan pekerja berkemahiran sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri.

 

"Menerusi MoU itu, semua pihak komited untuk memupuk kumpulan bakat yang selari dengan permintaan industri yang semakin berkembang, mengukuhkan komitmen kolektif mereka terhadap kecemerlangan serta inovasi dalam sektor minyak dan gas," katanya.

 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UTP, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Pengarah EPOMS, Datuk Mohd. Pathil Ahmad dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills Development Centre, Mohd Yusri Mohd. Nor.

 

Majlis itu disaksikan Menteri besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob; Pengerusi EPOMS, Raja Datuk Seri Mufik Affandi Raja Khalid serta Pengerusi Pahang Skills Development Centre, Datuk Mas’ut Awang Samah.

 

Sementara itu, Mohamed Ibrahim berkata, UTP komited untuk mempromosikan kecemerlangan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan.

 

Beliau berkata, menerusi Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional UTP (CAPE), misi universiti itu ialah untuk menjadi rakan kongsi industri dengan menawarkan program yang canggih dan inovatif, menyediakan platform pembelajaran yang boleh disesuaikan kepada pelajar.

 

"MoU itu menandakan pencapaian penting yang boleh memacu kerjasama yang lebih efektif dalam kalangan semua pihak terlibat. 

 

"Kami berharap agar kerjasama ini dapat diperluas bukan sahaja terhadap kursus profesional, tetapi juga dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan,” katanya.

 

CAPE yang ditubuhkan pada 2016 menyediakan program dan kursus profesional yang menyumbang kepada peningkatan pengetahuan dan kepakaran dalam sektor minyak dan gas.

 

EPOMS yang ditubuhkan pada 2012 pula merupakan penyedia perkhidmatan utama untuk operasi dan selenggaraan fasiliti pesisir pantai yang merangkumi seluruh rangkaian industri minyak serta gas negara, iaitu daripada prapengeluaran hingga aktiviti pascapengeluaran.

 

Sementara itu, Pahang Skills Development Centre ditubuhkan pada  1994 ialah badan berkanun kerajaan Pahang antara lain berperanan menawarkan latihan berteraskan kemahiran dan teknologi dengan menumpukan terhadap pembangunan kemahiran untuk pekerja dalam sektor perindustrian, siswazah serta lepasan sekolah. - DagangNews.com