Uzma, Dayang Enterprise diunjur terima manfaat utama peningkatan perbelanjaan modal domestik Petronas | DagangNews Skip to main content

Uzma, Dayang Enterprise diunjur terima manfaat utama peningkatan perbelanjaan modal domestik Petronas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Uzma Bhd dan Dayang Enterprise Holdings Bhd diunjur menjadi penerima manfaat utama peningkatan perbelanjaan modal (capex) domestik Petronas.

 

Public Investment Bank (PublicInvestment) berkata, Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) 2024 menunjukkan tahap aktiviti yang tinggi untuk tiga tahun akan datang yang memerlukan sejumlah besar aset, seperti unit kerja hidraulik (HWU) dan kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV).

 

“Kadar sewa unit atau harian bagi aset tersebut akan terus meningkat berikutan kekurangan aset ini dalam kalangan pemain industri tempatan.

 

"Uzma dan Dayang berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pasaran sebagai pemilik aset utama ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, capex Petronas meningkat kepada RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding RM50.1 bilion pada FY22.

 

Katanya, kumpulan itu memperuntukkan perbelanjaan modal terbanyak kepada segmen huluan berjumlah RM26.9 bilion dan FY23 juga merekodkan perbelanjaan capex tertinggi dalam tempoh enam tahun iaitu sebanyak RM26.2 bilion.

 

Perbelanjaan modal itu disalurkan kepada projek gas asli cecair (LNG) terapung berhampiran pantai di Sabah dan pembangunan lapangan Kasawari dan kemudahan penyerapan karbon dioksida (CO2) di Sarawak.

 

PublicInvestment berkata, Petronas menjana aliran tunai operasi sebanyak RM114.2 bilion pada purata harga minyak mentah Brent sebanyak AS$82.60 setong pada FY23 dan mempunyai penimbal yang mencukupi selepas pembayaran belanja modal dan dividen.

 

Memasuki FY24, firma penyelidikan itu menjangkakan capex domestik Petronas kekal utuh dengan sasaran tahunan sebanyak 22.6 bilion berdasarkan harga minyak Brent yang stabil kerana ia didagangkan pada purata AS$81 bagi setiap tong.

 

"Sentimen juga meningkat dengan lanjutan pemotongan pengeluaran OPEC+ baru-baru ini sehingga Jun 2024 dan semakan lebih tinggi terhadap prospek permintaan minyak meningkat sebanyak 1.3 juta tong sehari daripada 1.2 juta tong sehari oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

 

"Bagaimanapun, kami tidak begitu yakin bahawa minyak Brent akan melebihi paras AS$90 setong bagi jangka pendek disebabkan kapasiti yang mencukupi daripada OPEC+ dan tahap pengeluaran yang tinggi di Amerika Syarikat (AS)," katanya.

 

PublicInvestment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor minyak dan gas. - DagangNews.com