KUALA LUMPUR 12 Mei - Uzma Berhad dijangka meraih lebih banyak kontrak dengan semakan harga yang lebih tinggi sebagai penerima manfaat penting dalam aktiviti brownfield yang semakin meningkat.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, walaupun harga minyak rendah baru-baru ini, semakan menaik dalam nilai kontrak mengukuhkan pandangan positifnya terhadap trajektori rancangan perbelanjaan modal pengeluar minyak.
Firma itu berkata, prestasi kewangan bagi suku ketiga yang menghampiri tahun fiskal 2023 (3QFY23) akan lebih mendatar atau lebih rendah berbanding suku tahun ke suku tahun.
"Ini disebabkan musim tengkujuh dalam tempoh itu, dengan suku ketiga biasanya suku paling lemah bagi tahun kewangannya.
"Kami percaya semakan yang lebih tinggi dalam beberapa nilai kontrak boleh mengimbangi penurunan asa suku tahun ke suku tahun," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Terdahulu, anak syarikat asing milik penuh Uzma di Thailand, MMSVS Group Holding Co Ltd berjaya memperoleh kontrak bernilai RM45 juta daripada Valeura Energy Inc. untuk penyediaan perkhidmatan tiub gegelung.
Firma itu berkata, dengan mengandaikan margin keuntungan bersih sebanyak 7%, projek itu dijangka menyumbang RM3.1 juta kepada pendapatan sepanjang FY24 hingga FY26.
Katanya, Valuera Energy merupakan pengeluar minyak bebas terbesar di Thailand selepas pengambilalihan aset Mubadala Petroleum baru-baru ini pada Mac 2023 termasuk Blok B5/27 (lapangan minyak Jasmine dan Ban Yen).
Pada Februari 2020, Uzma memperoleh kontrak untuk perkhidmatan serupa bernilai RM23 juta dengan lanjutan tiga tambah dua tahun daripada MP B5 (Thailand) Ltd Mubadala Petroleum. - DagangNews.com