Uzma terima kontrak 3 tahun bagi pengumpulan data di bawah permukaan telaga daripada ExxonMobil | DagangNews Skip to main content

Uzma terima kontrak 3 tahun bagi pengumpulan data di bawah permukaan telaga daripada ExxonMobil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Uzma Bhd menerusi  Uzma Engineering Sdn. Bhd. menerima kontrak selama tiga tahun ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc bagi penyediaan peralatan dan perkhidmatan pengumpulan data di bawah permukaan telaga atau Non-Rig Assisted (NRA) Electric Wireline Logging (EWL) di perairan Malaysia Barat.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja kontrak itu merangkumi perundingan teknikal dan penyediaan unit talian elektrik, perkhidmatan pembalakan, traktor, penembusan boleh ditukar ganti antara kenderaan berbeza seperti E-Line dan traktor.

 

Ia juga melibatkan perkhidmatan tetapan palam, alat bantu lubang bawah dan perkhidmatan lain untuk semua jenis telaga.

 

"Kontrak itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Mei 2024 hingga 2 Mei 2027.

 

"Nilai kontrak adalah berdasarkan kadar yang dipersetujui dan tempahan kerja yang dikeluarkan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia sepanjang tempoh itu," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, Kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham biasa dalam syarikat.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.- DagangNews.com