Vaksinasi industri peruncitan, RiVAC bermula 26 Julai ini | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi industri peruncitan, RiVAC bermula 26 Julai ini

Gambar hiasan. Kredit gambar iStock

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Program Vaksinasi Industri Peruncitan atau Retail Industry Vaccination Programme (RiVAC) bakal dilaksanakan bermula 26 Julai ini.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program berkenaan akan dijalankan di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), Cititel Mid Valley City, Kuala Lumpur.

 

"RiVAC akan menyasarkan barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan seperti juruwang, jurujual, krew restoran, pekerja stesen minyak, krew pasaraya, krew departmental stores, tukang gunting dan kecantikan, pengurusan komplek membeli belah dan pekerja rantaian pengedaran.

 

"Ianya bagi memastikan sektor peruncitan dapat memberikan perkhidmatan membeli belah dan pengalaman pengguna yang selamat dan meyakinkan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi.

 

RiVAC merupakan Inisatif Kerjasama Awam Swasta di antara KPDNHEP dengan pemain industri peruncitan termasuk Persatuan Pengurus Kompleks Malaysia (PPK) yang disokong sepenuhnya oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

 

Sektor peruncitan merupakan perkhidmatan perlu (essential services) yang penting dalam memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran dan pengguna.

 

Sektor tersebut juga antara penyumbang utama ekonomi negara dan berperanan besar dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

RiVAC @ Mid Valley City merupakan lokasi pertama PPVIN Sektor Peruncitan dengan menyasarkan kapasiti 1,500 orang sehari dan dijangka dapat memberikan vaksinasi kepada 31,000 orang pekerja barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan di sekitar Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata, RiVAC akan diperluas ke beberapa lokasi lain dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

 

"Syarikat dan majikan yang menyertai RiVAC akan tertakluk kepada terma dan syarat perlaksanaan program vaksinasi melalui PPVIN seperti yang ditetapkan oleh CITF dan KPDNHEP.

 

"Pihak majikan juga tidak dibenarkan sama sekali mengenakan apa-apa bayaran atau potongan gaji kepada pekerja mereka di bawah RiVAC," ujar beliau lagi.

 

Sejak 26 Mei 2021, KPDNHEP menerima sebanyak 186,245 pendaftaran RiVAC daripada 1,396 syarikat dari seluruh negara.

 

KPDNHEP menyasarkan 500,000 orang pekerja barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan di seluruh negara untuk menyertai RiVAC dengan kadar segera. - DagangNews.com