Varia, Sungai Klang Link jalin kerjasama bagi memulakan projek lebuh raya bertingkat sepanjang 53 kilometer | DagangNews Skip to main content

Varia, Sungai Klang Link jalin kerjasama bagi memulakan projek lebuh raya bertingkat sepanjang 53 kilometer

Datuk Mohd. Nazri Ismail (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Datuk Benson Lau semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sungai Klang Link dan Varia pada 8 Mac 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Varia Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sungai Klang Link Sdn. Bhd (SKL) bagi memulakan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Klang Link. 

 

Kumpulan itu berkata, usaha niaga itu mewakili perkongsian strategik yang bertujuan memanfaatkan kepakaran Varia dalam reka bentuk, pembinaan, operasi dan pengurusan pembangunan infrastruktur penting di Lembah Klang.

 

SKL terlibat secara aktif sejak 2019 bagi mendapatkan perjanjian konsesi daripada Kerajaan Malaysia bagi hak membina, mengurus, memiliki dan mengendalikan Lebuhraya Bertingkat Sungai Klang Link.

 

Cadangan lebuh raya itu melibatkan laluan sepanjang 52.5 kilometer di sepanjang Sungai Klang yang akan disepadukan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada melalui tujuh persimpangan selain laluan alternatif penting kepada pengguna. 

 

Pengarah Urusan Varia, Datuk Benson Lau berkata, kerjasama ini bukan sekadar bukti komitmen Varia bagi meningkatkan infrastruktur bandar Malaysia tetapi juga peluang untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan pembinaan dan reka bentuk. 

 

varia
Datuk Benson Lau

 

Beliau berkata, dengan gabungan kepakaran mereka dalam menyediakan rumusan pembinaan yang inovatif selaras dengan matlamat pembangunan mampan, pihaknya bersedia menyempurnakan projek yang akan memudahkan aliran trafik selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Lembah Klang.

 

"Kami mengharapkan perubahan positif kepada masyarakat dan alam sekitar menerusi projek ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan SKL, Datuk Mohd. Nazri Ismail berkata, perkongsian itu sejajar dengan matlamat pihaknya menambah baik rangkaian pengangkutan di Lembah Klang dengan menawarkan laluan tambahan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. 

 

"Pengalaman Varia dalam menguruskan projek infrastruktur yang penting memberikan kami keyakinan dalam kejayaan pelaksanaan lebuh raya bertingkat ini. 

 

"Kami menjangkakan bahawa projek ini akan menyumbang secara positif kepada infrastruktur bandar, menyokong lebih cekap pilihan pengangkutan," katanya. - DagangNews.com