Velesto dijangka terus berdepan tekanan operasi kesan kenaikan kos tenaga kerja pada FY24, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Velesto dijangka terus berdepan tekanan operasi kesan kenaikan kos tenaga kerja pada FY24, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - Velesto Energy Berhad dijangka terus berdepan tekanan operasi kesan daripada kenaikan kos tenaga kerja pada FY24.

 

Kenanga Research berkata, peningkatan kos itu adalah disebabkan bekalan kakitangan luar pesisir yang ketat sekali gus menafikan kesan positif daripada kadar sewa harian (DCR) bagi pelantar. 

 

"Kumpulan itu juga mengunjurkan pengembangan minimum dalam margin keuntungan bahagian penggerudiannya pada FY24 kesan daripada tekanan kos yang dihadapi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Peningkatan kos buruh dan penggunaan pelantar yang lebih rendah daripada jangkaan telah menyebabkan keuntungan bersih kumpulan bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan (9MFY23) meleset, dengan hanya merangkumi 55% dan 54% daripada ramalan tahun penuh firma dan konsensus.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat peningkatan ketara dalam DCR, untuk pelantar, mereka percaya ia perlu mencatatkan peningkatan lebih tinggi, iaitu sekurang-kurangnya kepada AS$130,000 selepas pembaharuan daripada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24) untuk menjamin peningkatan pendapatan.

 

Katanya, kumpulan itu menjangkakan peningkatan dalam penggunaan rig bagi suku akan datang dan pada 3QFY23, penggunaan pelantar adalah rendah kerana Naga 3 terbiar walaupun memiliki kontrak sejak Oktober 2023 daripada Petronas Carigali.

 

Ditambah dengan Tinjauan Berkala Khas (SPS) untuk Naga 4 yang disiapkan pada September 2023, kami percaya penggunaan pelantar 4QFY23 akan mencecah 90% atau lebih tinggi, bergantung kepada keadaan cuaca yang lebih buruk pada akhir tahun.

 

"Kami lebih suka mengelak kumpulan itu ketika ini disebabkan pemampatan margin daripada persekitaran kos inflasi selain beberapa kontrak akan dimuktamadkan pada FY24.

 

"Selain itu, ketidakupayaan mendapat manfaat daripada DCR serantau sebanyak AS$130,000-AS$140,000, kerana sebahagian besar pelantarnya telah dikontrakkan pada DCR yang lebih rendah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 17 sen sesaham.- DagangNews.com