Versa Asia catat transaksi melebihi RM100 juta dalam tempoh kurang setahun | DagangNews Skip to main content

Versa Asia catat transaksi melebihi RM100 juta dalam tempoh kurang setahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Syarikat pemula fintech dan platform digital pengurusan kewangan, Versa Asia Sdn. Bhd. berjaya mencatatkan transaksi melebihi RM100 juta tempoh kurang setahun selain berjaya membuka lebih 30,000 akaun dalam platform berkenaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Versa, Teoh Wei Xiang berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, platform digital pengurusan kewangan menjadi tumpuan pelaburan bagi mereka yang berminat untuk melabur dalam dana bersama yang memiliki kecairan tinggi.

 

Katanya, sebagai antara platform digital pengurusan kewangan di Malaysia, Versa Asia memahami masalah kewangan yang dihadapi orang ramai dan mereka memberi penekanan terhadap kebolehan memberikan pulangan lebih cepat tanpa memberikan komitmen untuk tempoh panjang.

 

Menerusi deposit kemasukan serendah RM1, Versa membuatkan pelaburan lebih mudah kepada rakyat Malaysia menerusi aplikasi di telefon yang dilancarkan menerusi kerjasama bersama Affin Hwang Asset Management.
 

"Menerusi akses mudah menerusi aplikasi di telefon bimbit, Versa berjaya mencatatkan sejarah tersendiri dengan bantuan rakyat Malaysia yang berminat dengan platform digital pengurusan kewangan berbanding Simpanan Tetap konvensional yang memerlukan deposit minima yang sangat tinggi selain tempoh matang yang lama dan keuntungan yang rendah.

 

"Sebagai pengguna Versa, mereka hanya perlu memasukkan deposit mereka ke dalam aplikasi berkenaan dan biarkan Affin Hwang Asset Management menguruskan perkara selebihnya. Pengguna hanya perlu berehat dan melihat pelaburan mereka berkembang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

versa

 

Versa merupakan Dana Pelaburan Pasaran Kewangan yang berisiko rendah dengan tawaran kecairan tinggi.

 

Platform berkeaan juga menawarkan pulangan yang tinggi sebanyak 2.46% setahun (jangkaan 2022) setaraf dengan pulangan Simpan Tetap.

 

versa

 

Versa juga membolehkan simpanan pelanggan mereka memanfaatkan faedah simpanan terkumpul dan menerusi kaedah itu mereka boleh mendapat keuntungan di atas keuntungan yang diperoleh sebelum ini.

 

Versa merupakan pengendali pasaran yang diiktiraf di bawah Seksyen 34 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dengan kelulusan serta lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC). - DagangNews.com