Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Nov - Lebih 300,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang menyertai bidang keusahawanan digital selepas Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM melancarkan aplikasi MyVeteranMall, hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, aplikasi MyVeteranMall adalah inisiatif yang bertepatan untuk membantu usahawan veteran ATM mempromosi produk serta melakukan penjualan dan pembelian menerusi pelancaran pusat beli-belah secara maya itu.
“Keluarga Malaysia veteran ATM boleh menggunakan platform digital ini untuk meneroka potensi teknologi digital seperti e-Aktiviti, e-Dagang, e-Survei dan kemudahan ini merupakan satu kelebihan yang dapat merapatkan jurang digital dalam kalangan veteran ATM.
“Saya berharap inisiatif ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terlibat terutama kepada keluarga veteran ATM,” katanya selepas pelancaran aplikasi MyVeteranMall, lapor Bernama.
Turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.
Beliau berkata, buat masa ini penyertaan MyVeteranMall yang dibangunkan dengan kerjasama MIDC Technology Sdn. Bhd. terhad kepada veteran ATM buat masa sekarang namun akan dibuka kepada orang awam pada masa akan datang.
Katanya, setakat ini terdapat 505 penyertaan veteran ATM dalam MyVeteranMall yang melibatkan 605 pelbagai produk perniagaan di seluruh negara. - DagangNews.com