HANOI 20 Nov. - Vietnam muncul satu-satunya ekonomi di Asia Tenggara yang mencatat pertumbuhan positif ketika dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.
Menurut Vietnam News Agency (VNA) yang memetik laporan Nikkei Asia semalam, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut berkembang 2.6% bagi suku ketiga tahun ini, menandakan suku kedua berturut-turut yang mencatat pertumbuhan.
Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut melihat Vietnam menduduki tangga keempat dari segi KDNK dalam rantau ASEAN tahun ini, selain Singapura dan Malaysia selain mengatasi Filipina.
Berbanding negara ekonomi ASEAN lain, Vietnam telah berjaya mengekang penularan wabak COVID-19.
Lapor akhbar itu lagi, peningkatan eksport juga dalam masa sama mendorong kepada pertumbuhan memandangkan syarikat-syarikat mula memindahkan lokasi pengeluaran dari China.
"Vietnam merekodkan pertumbuhan eksport 9.9% pada Oktober kepada AS$26.7 bilion dan Kementerian Perdagangan dan Industri menjangkakan ia mencatat peningkatan tahunan antara 3 hingga 4%," lapor Bernama yang memetik agensi berita Vietnam itu.
Pertumbuhan eksport negara tersebut melonjakkan permintaan perkapalan semakin bertambah yang menyaksikan banyak kapal yang bergerak ke negara barat berlabuh di Vietnam.
Ini membolehkan lebih banyak barangan Vietnam diserahkan terus kepada pembeli, sekali gus merendahkan kos penghantaran, mengurangkan waktu transit dan menjadikan negara itu kompetitif sebagai pengeksport.
Keupayaan negara itu mengekang wabak COVID-19 banyak membantu mengurangkan impak ke atas ekonomi memandangkan aktiviti pembuatan dapat beroperasi kembali dengan cepat berbanding negara lain di rantau ini.
Ia sekali gus mengurangkan masalah kehilangan pekerjaan dan perbelanjaan pengguna kekal kukuh yang menyumbang 70% kepada KDNK.
IMF menjangkakan Vietnam akan merekodkan KDNK 1.6% berbanding penurunan 6% di Malaysia dan Singapura manakala Thailand susut 7.1%.
KDNK per kapita Vietnam pada AS$3,500 yang jauh ketinggalan berbanding Singapura dengan AS$58,500 dan Malaysia, AS$10,200, semakin rapat apabila mengikut turutan kedudukan ekonomi wilayah berkenaan.
Walaupun terdapat beberapa negara ASEAN menjangkakan pemulihan mendadak tahun hadapan tetapi Vietnam kekal ekonomi tunggal yang akan mencatat pertumbuhan sebenar pada separuh pertama 2021, bergantung kepada perkembangan wabak itu. - DagangNews.com