ViTrox diramal capai pertumbuhan positif dalam sektor semikonduktor, rancang pelaburan besar dalam bidang R&D - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

ViTrox diramal capai pertumbuhan positif dalam sektor semikonduktor, rancang pelaburan besar dalam bidang R&D - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - AmInvestment Bank Bhd meramalkan ViTrox Corporation Bhd mencapai pertumbuhan positif dalam sektor semikonduktor selepas kumpulan itu merancang membuat pelaburan besar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Katanya, usaha itu adalah bagi memanfaatkan peluang yang disediakan dalam Industri 4.0 dan kemajuan kecerdasan buatan (AI). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian luar negara bagi hasil 1HFY24 Vitrox meningkat 88% berbanding 84% pada 1HFY23, tetapi jualan tempatan susut sebanyak 32% berbanding penurunan sebanyak 5% untuk jualan luar negara.

 

"China menyumbang segmen hasil terbesar, melonjak kepada 44% pada 1HFY24 berbanding 33% pada 1HFY23. 

 

"Pesanan dari China telah menghasilkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan hasil 1HFY24 meningkat 24% apabila faundri negara meningkatkan keupayaan akibat sekatan ekspres cip Amerika Syarikat (AS).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 2QFY24 ViTrox susut kepada RM28.1 juta kesan perbelanjaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan

 

"Bagaimanapun, jualan kepada pelanggan AS merosot kepada 13% pada 1HFY24 berbanding 15% pada tahun lalu. Hasil AS menurun 21% disebabkan lebihan kapasiti pada masa ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun operasi pemeriksaan papan automatik (ABI) merangkumi sebahagian besar hasil 1HFY24, segmen itu menghadapi pemulihan yang perlahan dalam permintaan semikonduktor.

 

Bagaimanapun, terdapat tunggakan pesanan sebanyak RM37 juta dengan panduan hasil 3QFY24 sebanyak RM75 juta hingga RM85 juta, yang diterjemahkan kepada 55% hingga 62% hasil 2QFY24 ViTrox.

 

Katanya, pesanan teknologi lekapan permukaan kekal perlahan dengan keterlihatan jangka panjang yang terhad. 

 

"Namun begitu, ia boleh diimbangi oleh permintaan kukuh daripada China yang dijangka menyumbang lebih 50% daripada hasil 2HFY24. Ini boleh disokong lagi oleh permintaan yang kukuh dari India," katanya.

 

AmInvestment berkata, permintaan untuk sistem penglihatan mesin standard (MVSS) yang kukuh pada 1HFY24 dan dijangka berdaya tahan dalam tempoh enam hingga 12 bulan, berdasarkan usaha berterusan bagi menembusi pasaran pengguna akhir yang besar memandangkan sistem warisan sedia ada industri.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM4.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com