Vizione raih kontrak pembangunan bercampur bernilai RM750 juta di Gombak | DagangNews Skip to main content

Vizione raih kontrak pembangunan bercampur bernilai RM750 juta di Gombak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Vizione Holdings Bhd raih kontrak bernilai RM750 juta daripada pemaju hartanah Fields Of Forest Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan untuk projek pembangunan bercampur di Gombak.

 

Syarikat kejuruteraan pembinaan bersepadu itu akan menjalankan kerja-kerja kontrak utama untuk fasa 2 dan 3 pembangunan di bawah kontrak yang diterimanya.

 

Fasa 2 pembangunan itu merangkumi pembinaan servis apartmen, kedai-kedai dan kompleks tempat letak kereta, manakala fasa 3 merangkumi servis apartmen dan kedai-kedai.

 

Kerja-kerja tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun selepas kumpulan menerima arahan daripada arkitek.

 

"Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan syarikat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Vizione berkata, kerja untuk kontrak itu memerlukan mereka untuk melakukan transaksi berkaitan yang belum diwajibkan.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Ng Aun Hooi dan pengarah eksekutif Bee Jian Ming merupakan pemegang saham tidak langsung FOFSB.

 

Berdasarkan pengiraan kasar, Aun Hooi mengawal kepentingan efektif sebanyak 50.64% dalam Field Of Forest, manakala Jian Ming mengawal 5.28% manakala 40% lagi pegangan dalam adalah milik Lau Beng Wei, manakala 4.08% pegangan dikuasai oleh Istilah Sari (M) Sdn Bhd.- DagangNews.com