VSD Automation meterai perjanjian bersama Ni Hsin EV Tech bagi pengedaran motosikal elektrik | DagangNews Skip to main content

VSD Automation meterai perjanjian bersama Ni Hsin EV Tech bagi pengedaran motosikal elektrik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Dis - Ni Hsin Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. memeterai perjanjian bersama VSD Automation Sdn Bhd bagi mengedar dan memasarkan motosikal TailG Ebixon EV di pasaran tempatan serta antarabangsa.

 

VSD menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan pemantauan, pemeteran dan perlindungan infrastruktur penghantaran serta pengedaran dengan teknologi terkemuka dan perkongsian global strategik.

 

Syarikat itu berjaya mendapatkan hak untuk membangunkan dan memasang sistem pengecasan serta infrastruktur bagi kenderaan elektrik (EV) untuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

 

Antara pelanggan utama VSD ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), AEG, Prasarana Malaysia Berhad, Petroliam Nasional Berhad(Petronas) dan Air Selangor.

 

Menerusi perjanjian itu, VSD akan bertindak sebagai pengedar untuk Ni Hsin EV Tech di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong menjangkakan permintaan yang positif untuk motosikal EV dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang, disokong oleh pasaran e-dagang rantau ini.

 

Memetik data daripada Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa, Chee Keong berkata, pasaran e-dagang rantau ini yang bernilai AS$2.53 bilion (RM11.2 bilion) pada 2022, dijangka mempunyai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun sebanyak 20.6% dalam tempoh lima tahun hingga 2027.

 

“Kami yakin dengan keupayaan mereka (VSD) untuk memasarkan produk itu.

 

"Mereka mempunyai pengalaman, kepakaran teknikal dan rangkaian yang diperlukan untuk memenuhi tugas. VSD berusaha untuk menjual 10,000 unit produk dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com