Walaupun dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor, Kenanga Research jangka Tan Chong Motor terus catat kerugian di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Walaupun dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor, Kenanga Research jangka Tan Chong Motor terus catat kerugian di Vietnam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - Tan Chong Motor Holdings Bhd dijangka terus mencatatkan kerugian di Vietnam walaupun dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor International Co Ltd di negara itu.

 

Kenanga Research berkata, pasaran kereta di Vietnam adalah kecil berbanding Malaysia kerana penetapan harga tidak stabil selain kuasa beli yang rendah.

 

Katanya, pengeluar kereta di bawah Persatuan Pengilang Automobil Vietnam (VAMA) menjual lebih 300,000 unit pada 2023 berbanding Malaysia dengan 799,000 unit.

 

"Berdasarkan perjanjian bersama jenama terdahulu, Tan Chong Motor dijangka perlu menjual kenderaan GAC Motor yang diimport sepenuhnya (CBU) dengan anggaran 1,000 unit setahun untuk tahun pertama sebelum sasaran itu dinaikkan.

 

"Bagaimanapun, sumbangan pada tahun-tahun awak adalah sukar kerana kumpulan itu memerlukan masa untuk membina jenama. 

 

"Tanpa perjanjian pemasangan tempatan (CKD) yang konkrit bagi penggunaan kilang di Danang, kami menjangkakan Tan Chong Motor akan terus mencatatkan kerugian di Vietnam. Pada 9MFY23, kumpulan itu mencatat kerugian kerugian lebih tinggi di negara itu sebanyak RM32.4 juta berbanding RM10.9 juta pada 9MFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tan Chong Motor dilantik sebagai pengedar kenderaan GAC Motor di Vietnam

 

Terdahulu, Tan Chong memeterai perjanjian pengedaran selama tiga tahun dengan GAC Motor dengan kumpulan itu akan mengimport, mengedar dan menjual kenderaan dan alat ganti GAC, serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan di Vietnam.

 

Syarikat itu juga mempunyai hak untuk melantik sub-pengedar untuk melaksanakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan dan alat ganti.

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan itu kerana pegangan pasaran yang rendah iaitu 1% daripada jumlah keseluruhan industri, kekurangan pelancaran model baharu selain Tan Chong tidak memiliki keupayaan untuk menaikkan harga jualan bagi menampung kenaikan kos terutama disebabkan kelemahan ringgit.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 75 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com