Walaupun situasi getir, tiada penutupan ekonomi - Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

Walaupun situasi getir, tiada penutupan ekonomi - Menteri Kewangan

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan tidak akan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya terhadap ekonomi negara, walaupun berdepan situasi paling getir.

 

Itu jaminan diberikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kepada rakyat Malaysia. 

 

Bercakap dalam temubual bersama CNBC, beliau malah yakin kes jangkitan COVID-19 akan menurun berdasarkan model semasa. 

 

“Sekiranya keadaan menjadi getir, kerajaan tidak akan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya terhadap ekonomi. 

 

“(Sebaliknya) kerajaan akan terus menumpukan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sekiranya kes COVID-19 negara kekal tinggi,” katanya. 

 

CNBC melontarkan pertanyaan sekiranya Malaysia mempertimbangkan penutupan beberapa sektor atau mengutamakan sektor tertentu sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan. 

 

Tengku Zafrul dalam pada itu tidak menafikan bahawa isu utama seperti pematuhan dan penguatkuasaan SOP perlu diberikan perhatian. 

 

Ini wajar sekiranya kes jangkitan terus meningkat, kongsi Tengku Zafrul kepada CNBC.

 

Dalam perkembangan lain, beliau tidak melihat peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak kepada prestasi eksport. 

 

Tengku Zafrul yakin Malaysia bakal menerima manfaat untung daripada unjuran dagangan global yang dijangka berkembang 8% pada tahun ini berbanding 2020. - DagangNews.com