KUALA LUMPUR 7 Okt - Entiti milik kerajaan yang "biasanya dikritik" kerana "menyesakkan" pemain swasta, sering bertanggungjawab untuk "menghimpun" pemain swasta dan pihak berkepentingan lain, kata
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Beliau menegaskan, entiti milik kerajaan adalah sebahagian daripada ekosistem yang lebih luas.
Beliau berkata, entiti berkenaan perlu bekerjasama dengan syarikat swasta, badan kerajaan, pengawal selia, pengurus dana, yayasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
"Oleh itu, kami mengadakan sesi perbincangan usaha kerjasama antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi meneroka dan memacu pelaburan domestik yang lebih besar untuk pertumbuhan ekonomi di Malaysia di bawah program GEAR-uP anjuran Kementerian Kewangan," katanya ketika berucap semasa Khazanah Megatrends Forum 2024 (KMF2024), hari ini.
Amirul Feisal memetik "National Fund of Funds" sebagai contoh pendekatan yang telah diusahakan oleh Khazanah berikutan penggabungan penjana kapital dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (MavCap).
"Kami percaya melalui pendekatan yang diselaraskan, ia akan memanfaatkan kepakaran kolektif berbanding dengan menjadi rakan kongsi terhad individu," katanya.
Amirul Feisal menekankan Khazanah dibentuk oleh matlamat strategik keseluruhannya iaitu ‘Memajukan Malaysia’.
"Dan dalam melaksanakan strategi itu, kami mesti memastikan penciptaan nilai dalam syarikat di mana kami mempunyai pegangan saham yang besar, melabur secara strategik dalam menyelesaikan isu yang Malaysia hadapi melalui dana impak kami atau menerusi platform peralihan tenaga (RE), UEM Lestra Bhd.
"Ini menghasilkan pulangan terlaras risiko yang kukuh daripada operasi pelaburan global dan memberikan nilai kepada pemegang kepentingan utama kami, rakyat Malaysia," katanya.
Bertemakan 'Pursuit of Potatoes: Paving Paths from the Probable to the Possible'', KMF2024 mengumpulkan 31 penceramah terbilang dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman dan pendapat. - DagangNews.com