Wanita mewakili 26.3% dalam Lembaga Pengarah PLC, kekal di bawah sasaran 30% akibat kekurangan calon sesuai | DagangNews Skip to main content

Wanita mewakili 26.3% dalam Lembaga Pengarah PLC, kekal di bawah sasaran 30% akibat kekurangan calon sesuai

Pengerusi Kelab 30% Malaysia dan Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Nurul A’in Abdul Latif.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Ahli Lembaga Pengarah Wanita dalam semua syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia kekal di bawah sasaran 30% iaitu, pada 26.3%, meningkat daripada 25.6% pada 2023.

 

“Antara faktor yang memutuskan keputusan itu termasuk kekurangan calon yang sesuai,” kata Pengerusi Kelab 30% Malaysia dan Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Nurul A’in Abdul Latif.

 

Beliau turut menjelas, terdapat 265 kerusi lembaga pengarah sebelum kami mencapai 30% wanita dalam lembaga pengarah PLC Malaysia secara keseluruhan.

 

“Jurang semakin rapat, tetapi dalam kadar perlahan, ia menunjukkan banyak syarikat memilih untuk mengekalkan komposisi jantina dalam lembaga mereka yang sedia ada,” ulas beliau. 

 

Pada 2023, wanita mewakili 30.9% dalam Lembaga Pengarah 100 PLC teratas Malaysia, mencecah paras yang ditetapkan buat kali pertama. 

 

Sehingga 1 Julai 2024, menurut data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), wanita mewakili 31.4% daripada Pengarah Lembaga dalam 100 PLC teratas Malaysia. 

 

Nurul A’in berkata, walaupun 30% adalah sasarannya, ia bukan matlamat siling.

 

“Perwakilan wanita di kerusi kepimpinan adalah keperluan strategik untuk perniagaan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

“Kita mesti terus menyokong dasar yang membangunkan kepimpinan Wanita, mencabar stereotaip jantina dan mewujudkan peluang yang sama rata untuk semua," ulas beliau.

 

Ditubuhkan dengan kerjasama PwC Malaysia pada 2017, Skim Pementoran Lembaga (BMS) menghimpunkan Pengarah Lembaga yang berpengalaman bagi membolehkan pelantikan lebih ramai wanita sebagai Pengarah Lembaga. 

 

Melalui BMS, wanita akan diberi sokongan dalam membangunkan keyakinan mereka dan meluaskan rangkaian yang diperlukan  dalam tempoh sembilan bulan.

 

Hari ini, BMS telah memberikan bimbingan kepada 135 pemimpin wanita kanan dalam sembilan kohort.

 

Kata Kelab 30% Malaysia, 40% daripada mentee telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PLC, perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan persatuan industri.- DagangNews.com