Warga koperasi perlu celik pelaburan - ANGKASA | DagangNews Skip to main content

Warga koperasi perlu celik pelaburan - ANGKASA

Datuk Abdul Fattah Abdullah

Datuk Abdul Fattah Abdullah

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Warga koperasi disaran untuk mengambil tahu dan celik pelaburan khususnya berkaitan pelaburan patuh syariah.

 

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, perkara itu perlu bagi mengelakkan warga koperasi terlibat dalam jenayah kewangan yang memudaratkan.

 

Menurutnya, warga koperasi juga perlu mengetahui instrumen yang dibenarkan mengikut hukum syarak untuk membuat pelaburan.

 

"Keperluan ilmu pelaburan adalah penting buat gerakan koperasi yang menjalankan aktiviti ekonomi di dalam pelbagai sektor agar pengamalan pelaburan terbaik dapat dilakukan serta memastikan keuntungan yang diperolehi adalah daripada sumber yang halal.

 

“Pengetahuan terhadap pelaburan harus dipertingkat terutamanya yang patuh syariah bagi mengelakkan masyarakat mengalami kerugian dan terpedaya dengan tawaran tidak munasabah pelaburan haram dan skim cepat kaya," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Cakna Muamalat Dalam Gerakan Koperasi 2021 yang diadakan secara dalam talian hari ini. 

 

Dalam ucapan sama, beliau turut menyarankan warga koperasi untuk mengambil peluang melalui perkembangan pesat teknologi kewangan (Fintech) di Malaysia.

 

Menurut Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) sekuriti patuh syariah berjumlah RM1.3 bilion daripada keseluruhan ADV yang bernilai RM2 bilion.

 

Situasi berkenaan katanya meletakkan indeks patuh syariah mengatasi indeks konvesional. 

 

"ANGKASA turut mangambil inisiatif mengeluarkan Sijil Pematuhan Syariah bagi menambah keyakinan para pengguna dan pelabur terhadap produk dan perkhidmatan koperasi. 

 

"Bagi menguatkan lagi keaslian sijil tersebut tanda keselamatan dalam bentuk ‘barcode’ akan diperkenal bagi mengelakkan pemalsuan Sijil Pematuhan Syariah ini," tambah beliau.

 

Pihaknya turut berharap sektor koperasi dapat meneroka peluang pelaburan khususnya yang patuh syariah dalam usaha meningkatkan lagi peluang menjana perolehan.

 

Pada masa sama turut mengkaji dan meningkatkan keilmuan pelaburan supaya tidak terjerat dengan skim pelaburan yang tidak sah. - DagangNews.com