KUALA LUMPUR 22 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan ‘deepfake’ dicipta untuk menyamar sebagai individu dan nama syarikat terkemuka melalui kecerdasan buatan (AI).
SC yang baru-baru ini telah menemukan beberapa video ‘deepfake’ di Facebook berkata, pelaku penipuan itu biasanya memulakan aktiviti penipuan dengan menyiarkan video ‘deepfake’ pada platform media sosial, kemudiannya disebarkan melalui aplikasi mesej.
Video ini ‘menampilkan’ tokoh awam atau syarikat tertentu, dalam usaha untuk memberi kredibiliti kepada scam mereka.
"Melalui penggunaan teknologi AI, video itu dimanipulasi untuk hampir menyerupai suara tokoh awam ini, termasuk pergerakan bibir, menjadikan peluang pelaburan tersebut kelihatan tulen.
"Biasanya, video ‘deepfake’ itu juga akan mempromosikan pelaburan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat yang bereputasi, " ulasnya.
Sementara itu, video tersebut juga mempunyai butang atau pautan ‘Ketahui Lebih Lanjut’, yang membawa pihak berminat ke halaman pendaftaran bagi mengumpulkan maklumat peribadi mereka.
Pihak ramai yang tidak peka dan mengakses pautan itu akan diminta memuat turun aplikasi, dimana ia mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber.
Setelah mendaftar, bakal mangsa akan dihubungi oleh ejen yang kemudian menipu mereka, dengan meminta untuk memindahkan wang atau memberikan butiran peribadi selanjutnya.
SC, dengan bantuan Meta telah menurunkan video sedemikian bagi mengekang akses kepada pihak awam yang mungkin menjadi mangsa penipuan ini.
Di samping itu, SC juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan tersebut.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menilai tawaran pelaburan.
"Ini termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan," ujar SC.- DagangNews.com