Waspada surat derma palsu 'bertopengkan' Suruhanjaya Sekuriti | DagangNews Skip to main content

Waspada surat derma palsu 'bertopengkan' Suruhanjaya Sekuriti

 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati berhubung surat derma palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Badan Kebajikan Thalassemia Malaysia (944520K).

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan dengan meminta sumbangan secara palsu selain meletakkan Pengerusi SC sebagai penasihat.

"Penipu itu juga telah menyamar sebagai pegawai pengurusan kanan SC ketika membuat panggilan untuk memohon sumbangan. 

"SC telah membuat laporan polis mengenai surat palsu tersebut," jelas SC dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, SC menegaskan pihaknya tidak terlibat dengan sebarang permohonan sumbangan daripada masyarakat.

"SC ingin menyatakan bahawa tidak membuat sebarang permohonan sumbangan daripada orang ramai.

"Individu yang telah menerima sebarang permohonan sumbangan yang kononnya untuk atau bagi pihak SC atau mana-mana pegawainya, hendaklah segera menghubungi Pejabat Pelanggan dan Pelabur SC di aduan@seccom.com.my atau hubungi 03 - 6204 8999 untuk mengesahkan dan melaporkan perkara tersebut," ujar SC lagi. 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merupakan sebuah badan berkanun dan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal.

Suruhanjaya itu turut bertanggungjawab secara langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran termasuk bursa dan rumah penjelasan selain mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. - DagangNews.com